Melaka tumpu lebih 20 'hotspot' atasi banjir

Balai Polis Lubok China turut dilanda banjir. (Gambar kecil: Sulaiman)
Balai Polis Lubok China turut dilanda banjir. (Gambar kecil: Sulaiman)
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan Negeri Melaka memberi tumpuan kepada lebih 20 lokasi 'hotspot' berlaku banjir termasuk Lubok China di Masjid Tanah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, langkah itu bagi memastikan kawasan berpotensi dinaiki air diberi keutamaan dan dilaksanakan kerja-kerja mengatasi termasuk mewujudkan sistem saliran sistematik serta melakukan pengambilan tanah untuk menyelesaikan isu banjir.

Menurutnya, kajian bebas banjir juga sedang dijalankan dan hasilnya akan dilaksanakan segera setelah menerima peruntukan daripada kerajaan Pusat memandangkan ia memerlukan kos yang agak besar seperti kerja-kerja mendalam dan melebarkan kolam-kolam takungan selain cadangan kolam takungan baharu.

"Semua tempat penting, tetapi lokasi yang kerap dinaiki air diberi keutamaan terlebih dahulu kerana kerangka-kerangka untuk menyalurkan air dan pengambilan tanah telah dikenal pasti.

"Kerajaan negeri berjanji buat sebaik mungkin bagi mengatasi isu ini, cuma bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan peruntukan besar dan memakan sedikit masa," katanya ketika ditemui di Kampung Pulau di Masjid Tanah di sini, pada Sabtu.

Berhubung banjir di Lubok China, Sulaiman berkata, beliau telah mengarahkan Pegawai Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk segera mengambil tindakan sewajarnya.

Setakat jam 11 pagi, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan Telok Berembang, Lubok China membabitkan 83 mangsa daripada 20 keluarga.

Artikel Berkaitan: