Blok pembangkang Melaka tolak pelawaan Ketua Menteri

Dr Yadzil Yaakub
Dr Yadzil Yaakub
A
A
A

MELAKA - Ketua Pembangkang Melaka, Dr Yadzil Yaakub menolak pelawaan menyertai blok kerajaan dalam usaha mengukuhkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang terbentuk buat pertama kali di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban daripada Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau dan ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof memilih untuk terus kekal sebagai pembangkang bagi melaksanakan semak dan imbang terhadap kerajaan negeri Melaka.

"Janganlah takut kepada kami pembangkang yang hanya dua orang.

"Persoalan sekarang apakah kerajaan Melaka akan lebih efisien dengan 21 barisan exco (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) dan mampu menjana hasil berlipat ganda dengan barisan exco dan timbalan exco, yang mustahil tanpa belanja tambahan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dr Yadzil berkata, pelantikan timbalan exco dalam kerajaan negeri Melaka yang kecil adalah satu pembaziran.

"Kami akan mendengar dan perjuangkan suara hati masyarakat dan membawa denyut nadi rakyat negeri ini,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berharap dua ADUN PN itu dapat menyertai Kerajaan Perpaduan yang baharu ditubuhkan di negeri ini sebelum Enakmen Anti Lompat Parti dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Julai ini.

Ab Rauf, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, jika kedua-dua ADUN berkenaan bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan di Melaka, ia bakal mencatat sejarah sebagai negeri pertama sifar pembangkang.

Komposisi DUN Melaka terdiri daripada 28 kerusi iaitu 21 yang dikuasai Barisan Nasional, lima (Pakatan Harapan) dan dua kerusi dimiliki PN. - Bernama