Nafas cadang bantuan RM300 semusim kepada pesawah

Zamri (depan dua dari kanan) menyampaikan penghargaan kepada Sallehuddin Mohd Iskan (depan dari kanan) yang menerima anugerah saham individu PPK Sungai Besar pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-40 PPK Sungai Besar di Dataran PPK Parit 1, Sungai Besar pada Khamis.
Zamri (depan dua dari kanan) menyampaikan penghargaan kepada Sallehuddin Mohd Iskan (depan dari kanan) yang menerima anugerah saham individu PPK Sungai Besar pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-40 PPK Sungai Besar di Dataran PPK Parit 1, Sungai Besar pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mencadangkan kerajaan memberikan bantuan sebanyak RM300 semusim kepada pesawah sementara menunggu musim menuai.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, bantuan itu diharap dapat membantu golongan itu yang dihimpit kos sara hidup tinggi selain masalah kenaikan harga baja dan racun.

Menurutnya, bantuan itu juga diharap dapat membantu pesawah untuk meneruskan kelangsungan hidup berikutan rata-rata daripada mereka terdiri dalam kalangan mereka berpendapatan rendah.

"Secara dasarnya kerajaan sudah bersetuju dengan kadar itu (RM300 semusim) tetapi terpulang kepada kerajaan untuk memutuskannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-40 Pertumbuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar di Dataran PPK Parit 1 di sini pada Khamis.

Zamri berkata, seramai 380,000 pesawah di seluruh negara dijangka menerima manfaat itu sekiranya bantuan itu dilaksanakan kerajaan.

"Ini sudah tentu dapat mengurangkan bebanan ditanggung pesawah terutama dengan hasil padi tidak menentu pada ketika ini," katanya.

Beliau memberitahu, bantuan sebanyak RM300 itu dicadang diberikan kerajaan selama dua kali setahun mengikut musim penuaian padi.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, bantuan wang tunai itu juga sama seperti dinikmati pekebun kecil dan penoreh getah menerusi Bayaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM300 sebulan.

"Kami berharap perkara ini mendapat kelulusan daripada kerajaan memandangkan golongan ini sentiasa berusaha bagi meningkatkan industri beras negara," ujarnya.