Cadang kad subsidi khas kepada B40, M40

Chuah (dua dari kiri) ketika sesi taklimat khas bersama media di Ibu Pejabat DataSonic pada Rabu.
Chuah (dua dari kiri) ketika sesi taklimat khas bersama media di Ibu Pejabat DataSonic pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Data Sonic Corporation mencadangkan supaya kerajaan menggunakan kad subsidi khas untuk pelaksanaan subsidi bersasar kepada golongan B40 dan M40.

Pengarah Eksekutifnya, BC Chuah berkata, kad subsidi khas berkenaan bertujuan memudahkan pelaksanaan subsidi bersasar melibatkan petrol, elektrik dan barangan keperluan harian termasuk gula dan beras.

Menurut beliau, DataSonic sudah bersedia untuk melaksanakan sistem berkenaan jika kerajaan setuju dengan kaedah yang dicadangkan.

“Dulu kita pernah (cuba) buat subsidi menggunakan MyKad. Saya rasa ada banyak kesusahan, stesen minyak tak suka.

"Jadi kita cadangkan dengan idea baharu menggunakan kad yang kita buat dan dapat subsidi automatik daripada kerajaan.

“Kerajaan perlu rancang satu piawaian dan kita bekerjasama dengan mereka agar kad ini senang digunakan,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat khas di Ibu Pejabat DataSonic Corporation di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif DataSonic, Danny Chew dan Pengarah Pembangunan Perniagaan DataSonic, Abdul Razak Mohd Nordin.

Datasonic Corporation adalah anak syarikat Datasonic Group Berhad, yang dikenali sebagai penyedia dan pembekal kad pengenalan MyKad dan cip pasport Malaysia serta pintu automatik di sempadan negara.

Jelas beliau lagi, pihaknya juga boleh berkongsi idea dengan kerajaan dan melihat apakah cara tersebut berkesan untuk memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar.

"Pihak kami sudah bersedia untuk mengeluarkan kad subsidi khas bergantung kepada keperluan.

“Apa yang kita perlu lakukan adalah duduk berbincang dan apakah yang diperlukan oleh kerajaan kita boleh sediakan,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai perancangan masa depan syarikat berkenaan, Chuah berkata, pihaknya kini sedang menumpukan kepada tiga segmen iaitu menjangkau kumpulan yang tidak mempunyai akaun bank, penggunaan kad bank yang mesra alam dan perbankan digital.

Chuah berkata, sebagai contoh, pihaknya akan mencadangkan kepada bank yang ada di negara ini untuk menukar dan menggunakan kepada kad yang dikitar semula sebagai salah satu cara untuk menjaga alam sekitar.

“Kita sudah berbincang dengan beberapa bank dan mereka sudah sahkan (untuk menggunakan). Jadi beberapa tahun akan datang, semua kad akan tukar kepada kad baru ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut yakin ketiga-tiga segmen itu adalah prospek perniagaan masa depan.

“Sekiranya berjaya mengembangkan perniagaan dalam tiga segmen ini, kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan Datasonic Corporation bertambah sekurang-kurangnya 20 peratus setiap tahun, daripada sekitar RM60 ke RM70 juta ketika ini,” jelas Chuah.