Penerima PPRT: KPLB utamakan senarai nama daripada eKasih

Mahdzir - Foto Bernama
Mahdzir - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi keutamaan kepada senarai nama dalam sistem eKasih bagi proses permohonan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Dewan Rakyat diberitahu pada Khamis.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tahun depan, Pejabat Daerah telah mengeluarkan senarai nama yang dikategorikan sebagai kumpulan miskin dan memerlukan bantuan untuk memiliki rumah.

"Senarai (nama) yang ada dalam itu adalah daripada eKasih, senarai nama itu akan diberi keutamaan dan berdasarkan itulah KPLB akan bagi (PPRT) dan ketiganya adalah senarai (nama) yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Berhormat (ahli Parlimen)," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah) mengenai langkah penyelarasan KPLB dalam memberi bantuan segera kepada golongan miskin yang masih mendiami rumah daif.

Sementara itu, Mahdzir berkata, KPLB memperuntukkan RM361.1 juta melibatkan 2,400 unit PPRT Bina Baharu (BB) dan 11,450 unit PPRT Baik Pulih (BP) bagi pelaksanaan program berkenaan tahun depan.

"PPRT merupakan usaha kerajaan bagi membolehkan rakyat mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa khususnya kepada golongan miskin dan miskin tegar di kawasan luar bandar," katanya.

Menjawab soalan asal Mohd Redzuan yang bertanya dasar kerajaan membangunkan PPRT menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS), Mahdzir menjelaskan, pelaksanaan PPRT bagi projek BB secara kaedah IBS telah dimulakan pada 2019 bertujuan untuk menjimatkan kos dan mengurangkan tempoh masa pembinaan rumah.

"Ini juga bagi menyahut saranan kerajaan yang menggalakkan peningkatan industri pembinaan dengan memberi tumpuan kepada penggunaan IBS, selaras dengan hala tuju ke arah mencapai status negara maju serta pembinaan lestari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi tempoh 2019 sehingga 2021, sebanyak 1,918 atau 50.3 peratus unit rumah PPRT BB telah dilaksanakan secara kaedah IBS berbanding dengan jumlah keseluruhan iaitu 3,833 unit.

Beliau memberitahu, KPLB juga menyokong usaha pihak agensi pusat untuk melaksanakan semakan semula insentif IBS sedia ada bagi menggalakkan pemaju menggunakan kaedah teknologi itu dalam mengawal kos dan meningkatkan kecekapan pembinaan terutama projek berskala kecil.- Bernama