Lebih 80,000 permohonan Inisiatif Pendapatan Rakyat diterima

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 82,892 permohonan telah diterima bagi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sehingga hari ini dengan 33,501 daripadanya adalah individu daripada kategori berpendapatan rendah, kata Kementerian Ekonomi.

Menurut kementerian, dari segi kategori, seramai 16,135 individu atau 48 peratus memohon bagi program Inisiatif Usahawan Makanan (Insan), 10,055 individu atau 30 peratus untuk program Inisiatif Usahawan Tani (Intan) dan 7,311 individu bagi program Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan).

Kementerian telah melakukan semak silang dengan Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri serta data penerima Sumbangan Tunai Rahmah di bawah Kementerian Kewangan, katanya.

"Tujuan semak silang ini dilaksanakan adalah bagi memastikan hanya pemohon yang mempunyai pendapatan di bawah RM5,000 sahaja layak menyertai program ini.

"Selain itu, ketua isi rumah (KIR) dalam data eKasih dan iDamak juga akan dilibatkan dalam Program IPR yang bersesuaian mengikut minat KIR,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang ingin tahu sejauh mana keberhasilan program IPR untuk meningkatkan ekonomi golongan B40 dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan jurang pendapatan.

Sementara itu, menurut kementerian, susulan pelancaran IPR pada 26 Februari 2023, program Basmi Miskin Tegar sedia ada telah diintegrasi dan dijenamakan semula di bawah IPR.

Menurutnya sehingga kini, sebanyak RM22.8 juta telah dibelanjakan, manakala untuk tempoh Februari hingga Mei 2023 adalah RM370,000.

"Memandangkan Kementerian Ekonomi sedang melaksanakan proses perolehan program IPR, sebahagian besar peruntukan dijangka dibelanjakan pada separuh kedua 2023,” katanya.

Beliau menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang ingin tahu berapa peruntukan yang telah diguna pakai bagi IPR daripada Februari 2023 sehingga kini serta bantuan kementerian terhadap negeri-negeri yang mencatatkan penyertaan peserta IPR yang rendah termasuk sebarang perancangan alternatif untuk membantu golongan sasaran yang terkesan.

Kementerian Ekonomi berkata, pihaknya sedang giat melaksanakan libat urus dengan semua kerajaan negeri dan pejabat daerah bagi mengenal pasti peserta daripada kategori miskin tegar, miskin dan B40 didaftarkan dalam IPR untuk memastikan penyertaan yang lebih menyeluruh di seluruh negara pada skala besar. - Bernama