Lokasi perkelahan Pulau Sayak makin banyak sampah

Pembuangan sampah tidak terkawal boleh menjejaskan kebersihan Pulau Sayak. (Gambar kanan) Pembuangan sampah merata-rata di lokasi perkelahan berisiko menjadi sarang pembiakan nyamuk dan tikus.
Pembuangan sampah tidak terkawal boleh menjejaskan kebersihan Pulau Sayak. (Gambar kanan) Pembuangan sampah merata-rata di lokasi perkelahan berisiko menjadi sarang pembiakan nyamuk dan tikus.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan Kedah digesa memantau kebersihan Pulau Sayak akibat pembuangan sampah tidak terkawal yang dikhuatiri menjejaskan lokasi perkelahan tersebut.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menggesa kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan supaya membuat pemantauan dan siasatan segera bagi mengelakkan kawasan itu terus tercemar.

Menurut beliau, pencemaran bukan sahaja menjejaskan keindahan alam sekitar, namun dibimbangi akan menyebabkan hasil laut yang menjadi pendapatan nelayan menyusut.

"CAP kesal dengan pencemaran akibat pembuangan sampah di lokasi perkelahan yang menjadi tumpuan baharu di daerah Kuala Muda sejak akhir-akhir ini.

"Kehadiran pengunjung ke lokasi itu menjadikan kawasan tumpuan awam tersebut semakin kotor akibat pembuangan sampah tidak terkawal," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut beliau, menerusi tinjauan CAP mendapati, keadaan ini bukan sahaja melibatkan lokasi perkelahan di Kampung Hujung Pulau Sayak tetapi di tepi-tepi jalan utama berhampiran kampung berkenaan.

Jelas beliau, bahan buangan terutama plastik dilihat berselerakan di tepi jalan selain di pesisiran pantai dipercayai ditinggalkan pengunjung.

Kebersihan yang tidak dijaga dikhuatiri boleh menjejaskan tangkapan hasil laut dan pendapatan nelayan Pulau Sayak.
Kebersihan yang tidak dijaga dikhuatiri boleh menjejaskan tangkapan hasil laut dan pendapatan nelayan Pulau Sayak.

Artikel Berkaitan:

"Tiada kemudahan tong sampah disediakan, kemungkinan ia juga menjadi punca berlakunya masalah ini," katanya.

Sehubungan itu, CAP menggesa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) menyiasat dan mengambil tindakan susulan memandangkan kini tempoh cuti penggal persekolahan bermula selain kelonggaran rentas daerah dan negeri telah dibenarkan menyebabkan kehadiran pengunjung semakin meningkat.

Ujar beliau, lokasi terbabit berisiko menjadi sarang pembiakan nyamuk dan tikus selain menjejaskan kebersihan dan kesihatan orang awam sekiranya tidak dipantau.

"Selain itu, bahan-bahan buangan tersebut boleh mencemari laut sehingga membawa kepada kekurangan hasil laut sekali gus menjejaskan tangkapan golongan nelayan di kampung berdekatan," katanya.

Menurut beliau, pemantauan berterusan dan tindakan penguatkuasaan wajar diambil ke atas mereka yang melakukan kesalahan mencemarkan alam sekitar.

"Kita juga minta agar papan tanda amaran diletakkan sebagai peringatan selain mencegah perbuatan tidak bertanggungjawab ini daripada berleluasa," katanya.