Pencemaran sungai: MBPP arah TNB henti kerja serta-merta

Keadaan sungai yang tercemar tular di media sosial. Gambar kiri: Yew Tung Seang
Keadaan sungai yang tercemar tular di media sosial. Gambar kiri: Yew Tung Seang
A
A
A

GEORGETOWN - Kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) diarahkan memberhentikan semua kerja tapak yang menyebabkan pencemaran Sungai Jelutong dan Sungai Pinang di sini serta-merta.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataannya berkata, pihaknya turut mengarahkan kontraktor TNB melakukan kerja-kerja pembersihan sehingga keadaan di tapak didapati memuaskan.

Menurut MBPP lagi, pihaknya melalui Jabatan Kejuruteraan turut mengeluarkan notis tunjuk sebab berhubung perkara itu kepada kontraktor terlibat.

"Kita mengeluarkan notis berhubung pencemaran sungai dan sistem perparitan akibat pembuangan sisa bahan bentonite pada hari ini (Selasa) kepada kontraktor terlibat.

"Kita turut membuat tinjauan di lokasi selain menjalankan siasatan berhubung pencemaran sungai terbabit yang turut tular di media sosial. Tinjauan dan siasatan diketuai oleh Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang," katanya pada Selasa.

MBPP berkata, hasil siasatan mendapati punca pencemaran disebabkan kerja-kerja penanaman kabel bawah tanah secara 'horizontal direct drilling' (HDD) yang dijalankan di sepanjang Jalan Terengganu dan Jalan Hamilton.

"Kerja tersebut dipercayai menyebabkan pencemaran serius terhadap kedua-dua sungai itu akibat buangan sisa 'bentonite' ke dalam sungai dan sistem perparitan oleh kontraktor TNB.

"Oleh itu, pihak kontraktor TNB diarahkan memberi makum balas terhadap notis tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari bermula hari ini (Selasa)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut MBPP, sekiranya pihak kontraktor TNB gagal, maka kertas siasatan mengikut Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 serta Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976 akan dibuka.

"Selain itu, pihak bertanggungjawab juga akan dipanggil untuk pendakwaan.

"MBPP memandang serius terhadap semua isu pencemaran yang berlaku dan tindakan tegas dalam menanganinya akan diambil ke atas mana-mana pihak yang bertanggungjawab," kata kenyataan itu.