Ismail Sabri perlu jadi PM sehingga 2023: Kelab Penyokong Kerajaan

Tajuddin berucap mewakili Ahli Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia pada sidang media di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Tajuddin berucap mewakili Ahli Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia pada sidang media di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang lulus dengan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat menunjukkan kehebatan, kewibawaan dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya berharap Ismail Sabri dapat menerajui kerajaan yang dipimpinnya sehingga habis penggal tahun 2023.

“Sebagaimana kita sedia maklum, bukan sahaja daripada pihak kerajaan yang menyokong, pihak pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) juga berjanji dan menyokong kerajaan ini.

“Kita ucap terima kasih kepada pembangkang. Ini adalah politik baharu dan matang yang dibawa oleh Perdana Menteri,” katanya semasa sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.

Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa mencatat sejarah apabila Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga.

Rang Undang-Undang itu memperoleh sokongan 200 ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan 199 undi menyokong ketika belah bahagian pada bacaan kali ketiga, sekali gus lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Dalam sidang akhbar yang sama, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pula berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) tidak perlu dipercepatkan kerana terdapat pelbagai perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu seperti anti lompat parti.

“Rakyat tidak mahu perkara ini berlaku lagi. Kita juga ada benda yang kita nak selesaikan seperti yang telah kita janji kepada mereka mengenai undi 18 tahun dan banyak perkara lain kita perlu selesaikan.

Artikel Berkaitan:

“Kita hendak pastikan supaya satu penggal, lima tahun itu bermaksud lima tahun. Kita tidak mahu dua tahun sahaja, kita buat pilihan raya. Sebab lima tahun ni bermakna kita boleh merancang untuk lima tahun.

“Kita juga boleh menyelamatkan wang untuk tidak adakan sebarang pilihan raya kerana banyak lagi perkara yang kita perlu selesaikan,” jelasnya.