RUU Perbekalan 2022 dibentang untuk bacaan kali kedua

Tengku Zafrul membacakan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Tengku Zafrul membacakan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) yang menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik Covid-19, dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara pada Selasa.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata,bajet bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' berkenaan mendokong tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Selain itu, beliau berkata, matlamat Bajet 2022 kekal dengan tiga fokus induk iaitu rakyat sejahtera, perniagaan berdaya tahan serta ekonomi yang makmur dan mampan."Tahun 2022 semestinya diberi tumpuan untuk memulih semula setiap segmen sosioekonomi negara.

Usaha membina daya tahan turut digerak bagi mengukuh keupayaan perniagaan dan sistem kesihatan serta melangkah ke hadapan, instrumen pembaharuan diperhebat supaya seiring dengan landskap dunia teknologi tanpa sempadan dan agenda kelestarian," katanya.

Rang undang-undang itu yang merupakan belanjawan pertama di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diluluskan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam, selepas 13 hari tempoh perbahasan dan penggulungan bermula 22 November bagi setiap kementerian terlibat.Dewan Rakyat meluluskan Bajet 2022 di peringkat dasar pada 18 November.

Tengku Zafrul berkata. tumpuan kerajaan di bawah fokus rakyat yang sejahtera adalah untuk meneruskan pemberian bantuan tunai langsung secara bersasar, memperkasa aspek pendidikan dan kesihatan awam selain terus menjana peluang pekerjaan.

Menurutnya, pada tahun depan inisiatif bantuan tunai langsung akan ditambah baik dengan kerajaan memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melibatkan beberapa pembaharuan supaya kumpulan benar-benar terkesan diberi lebih tumpuan.

"Secara keseluruhan, kerajaan menyediakan lebih RM31 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif bagi Bajet 2022. Peruntukan ini untuk meminimumkan kesan peningkatan kos sara hidup rakyat melibatkan kawalan harga barang dan perkhidmatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi fokus perniagaan berdaya tahan, kerajaan menumpukan kepada strategi untuk mengembalikan keupayaan perniagaan melalui akses kepada pembiayaan, memacu pelaburan strategik dan memulih sektor tumpuan seperti industri pelancongan, kreatif, peruncitan, pertanian dan komoditi.

Bagi fokus ketiga ekonomi yang makmur dan mampan, Tengku Zafrul berkata. kerajaan komited untuk mengukuhkan agenda pembangunannya supaya pertumbuhan kekal mampan dan inklusif di samping menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurutnya, di bawah fokus itu, penumpuan diberikan kepada agenda kelestarian, merapatkan jurang ekonomi, konsolidasi fiskal dan kemampanan hasil serta mendukung penyampaian perkhidmatan awam. - Bernama