Dua lelaki Bangladesh dalang sindiket palsu dokumen diberkas

Salah seorang warga Bangladesh yang ditahan dalam operasi khas di sebuah apartment di Wangsa Maju di sini pada 6 Disember lalu.
Salah seorang warga Bangladesh yang ditahan dalam operasi khas di sebuah apartment di Wangsa Maju di sini pada 6 Disember lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki warga Bangladesh yang disyaki menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen diberkas dalam operasi khas di sebuah apartment di Wangsa Maju di sini pada 6 Disember lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi pada jam 11 pagi itu merupakan rentetan daripada tangkapan seorang lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 30-an yang merupakan orang perantaraan kepada sindiket berkenaan pada 25 November lalu.

Menurutnya, ketika serbuan suspek berusia 34 dan 37 tahun itu sedang menyiapkan tempahan yang diterima iaitu pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pasport.

"Suspek cuba melarikan diri tetapi telah berjaya ditangkap oleh anggota penguat kuasa yang mengepung premis berkenaan.

"Pemeriksaan di premis tersebut mendapati sebuah bilik telah digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis dokumen palsu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Antara barang yang dirampas dalam operasi khas di sebuah apartment di Wangsa Maju di sini pada 6 Disember lalu.
Antara barang yang dirampas dalam operasi khas di sebuah apartment di Wangsa Maju di sini pada 6 Disember lalu.

Khairul Dzaimee berkata, antara yang dirampas adalah set peralatan komputer, mesin pencetak kad dan beberapa peralatan yang digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu.

"Pemeriksaan lanjut menemui pelekat keselamatan imigresen, kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan pasport pelbagai negara seperti India, Bangladesh, Nepal dan Myanmar yang telah siap dicetak untuk diserahkan kepada pelanggan.

Artikel Berkaitan:

"Modus operandi sindiket itu adalah menggunakan orang tengah bagi mencari pelanggan yang memerlukan perkhidmatan mereka dengan menyasarkan warga Bangladesh, Myanmar, Nepal dan India," katanya.

Beliau berkata, sindiket itu dikesan telah menjalankan kegiatan sejak setahun yang lalu dan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi pelekat PLKS, manakala kad CIDB dan pasport pula antara RM100 hingga RM300.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah," katanya.