Sedia atasi masalah sampah di Taman Eko-Rimba

Gambar yang dikongsikan dalam Facebook yang tular warga Kuantan.
A
A

KUANTAN – Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) sedia melantik syarikat lain bagi menguruskan kawasan Taman Eko-Rimba Berkelah bagi memastikan kawasan rekreasi itu diselenggara dengan baik.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, langkah itu diambil setelah menerima banyak aduan mengenai sampah sarap yang tidak diselenggara dengan baik.

“Perkara ini akan dilaksanakan oleh pihak kita selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri selepas melantik syarikat lain bagi menguruskan kawasan rekreasi ini.

“Bayaran fi masuk akan dikenakan kepada pengunjung bagi menampung kos penempatan pekerja tetap,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jumaat lalu, tular gambar pemandangan yang kurang menyenangkan di kawasan reaksi itu menerusi laman sosial Facebook, sekali gus mengundang kritikan netizen.

Status yang dimuat naik berhubung masalah sampah dan kurang penyelenggaraan di kawasan rekreasi tersebut. (Gamabr kecil: Mohd Hizamri)
Status yang dimuat naik berhubung masalah sampah dan kurang penyelenggaraan di kawasan rekreasi tersebut. (Gamabr kecil: Mohd Hizamri)

Banyak sampah sarap di kawasan terbabit tidak diselenggara dengan baik sehingga mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan pengunjung.

Menyentuh perkara itu, Mohd Hizamri memaklumkan pengurusan kawasan rekreasi ini terletak di bawah Pejabat Hutan Daerah Kuantan dan pihaknya tidak mempunyai kakitangan yang tetap untuk ditempatkan secara tetap disebabkan kekurangan kakitangan.

Jelasnya, buat masa sekarang, kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan dilakukan dalam dua minggu sekali.

“Pihak kita telah menghantar kakitangan untuk membuat pembersihan segera dan akan meningkatkan kekerapan kerja pembersihan bagi mengekalkan kebersihan kawasan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hizamri meminta masyarakat supaya lebih prihatin kepada alam sekitar dan sedar bahawa menjaga kebersihan.