Ranhill SAJ peruntuk RM48 juta atasi masalah bekalan air di Johor

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Ranhill SAJ membelanjakan kira-kira RM48 juta peruntukan bagi mengatasi masalah bekalan air membabitkan pengguna di Johor.

Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat Ranhill Utilities Berhad, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin berkata, ia bagi menjalankan projek Rengit pipeline & water tank dengan dan Rengit Distribution & Inline Pumping.

"Kami komited mencari jalan penyelesaian jangka panjang yang tuntas bagi masalah yang diutarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

"Bagi tujuan tersebut Ranhill SAJ telah merancang Rengit pipeline & water tank dengan anggaran kos sebanyak RM44 juta," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum itu, Mohd Puad telah mengemukakan surat terbuka kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill, Tan Sri Hamdan Mohamad di laman Facebooknya pada Jumaat berkenaan beberapa isu bekalan air di Rengit.

Mengulas lanjut, Mohd Zaffarollah menjelaskan, Rengit pipeline & water tank membabitkan pemasangan paip baru bersaiz 450mm sepanjang 10 kilometer (km) daripada Loji Rawatan Air (LRA) Parit Raja ke Parit Kadir.

Ia juga melibatkan pemasangan paip baru bersaiz 450mm sepanjang 11 km daripada Rengit ke tangki air baru dan penambahan 4.5 juta liter di Tangki Kampung Tengah.

Katanya, pada masa sekarang projek tersebut telah berada di peringkat Detailed Engineering Design (DED).

"Selain itu, kami juga dalam proses melaksanakan Rengit Distribution & Inline Pumping dengan anggaran kos sebanyak RM 4juta.

"Ini membabitkan pemasangan pam air yang baru di Parit Kadir, pemasangan paip baru UPVC bersaiz 250mm sepanjang 3 km di Jalan Rejo Sari dan pemasangan paip baru bersaiz 250mm jenis UPVC sepanjang 4 km di Jalan Rejo Sari. Projek ini telah pun siap sebanyak 97 peratus," ujarnya.

Tegasnya, Ranhill SAJ terus komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna air di negeri Johor.

Justeru, beliau berkata, dengan adanya inisiatif jangka masa panjang, ia diyakini dapat menstabilkan bekalan air di kawasan Rengit.

"Kami berterima kasih kepada ADUN Rengit yang membangkitkan isu ini, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat lebih maklum mengenai usaha-usaha Ranhill SAJ meningkat kualiti perkhidmatan air negeri Johor.

"Ranhill SAJ juga terbuka kepada teguran dan kritikan membina ini demi kesejahteraan penduduk negeri Johor," katanya.