Sabah cuba kurangkan NRW atasi masalah air

Shahelmey ketika program Dialog Siswa yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
Shahelmey ketika program Dialog Siswa yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Sabah sedang berusaha mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) bagi memastikan masalah bekalan air di negeri itu dapat diatasi.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Shahelmey Yahya menjelaskan, beberapa faktor lain juga sudah dikenal pasti dan kerajaan telah mengemukakan langkah jangka pendek dan panjang bagi mengatasi masalah berkenaan.

"Saya akui Sabah terutama di utara Kota Kinabalu, Patutan dan Tuaran sedang mengalami masalah kekurangan atau tekanan air rendah dalam beberapa bulan ini.

"Situasi ini disebabkan tahap bekalan air dari Sarawak sama dengan permintaan (iaitu) pengeluaran dan permintaan hampir sama.

"Program kemajuan kerja Lori Rawatan Air (LRA) Telibong Fasa Dua juga telah tergendala dan mengalami kelewatan. Ia tidak dapat disiapkan mengikut kontrak sepatutnya," katanya ketika program Dialog Siswa yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.

Antara pelajar UiTM Kota Kinabalu yang hadir menyaksikan Dialog Siswa yang berlangsung di Dewan Al-Bukhari, UiTM Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
Antara pelajar UiTM Kota Kinabalu yang hadir menyaksikan Dialog Siswa yang berlangsung di Dewan Al-Bukhari, UiTM Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.

Program yang disiarkan secara langsung menerusi semua platform digital Sinar Harian itu turut mengundang Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah, Datuk Masiung Banah, manakala Safwan Sawi bertindak sebagai hos.

Dalam pada itu, Shahelmy yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut mengakui tahap pengurusan projek pembekalan air di Sabah yang lemah merupakan antara punca utama isu kekurangan bekalan air di negeri itu ketika ini.

Justeru beliau menjelaskan, kerajaan negeri telah melakukan rombakan selain mengemaskini pentadbiran agensi terlibat bagi mengelakkan sebarang ketirisan berlaku.

"Setelah lakukan rombakan dan mengemaskini pentadbiran Jabatan Air Sabah, kita sedang menstabilkan tekanan dan agihan bekalan air sekitar Kota Kinabalu termasuk di Tuaran.

"Selain itu, kita juga mengambil langkah memutuskan penyambungan langsung yang ada di paip penghantaran utama penyebab gangguan tekanan.

"Sekarang sudah banyak kawasan mula menerima bekalan air yang stabil namun kawasan UiTM (Kota Kinabalu) dan Bukit Sepanggar akan memerlukan sedikit masa untuk menstabilkan air di sistem paip tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Shahelmey berkata, kerajaan juga sedang dalam peringkat akhir kajian bagi membina Empangan Papar yang merupakan penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah air di pantai barat Sabah.

Pelajar UiTM Kota Kinabalu memberi tepukan gemuruh ketika menyaksikan Dialog Siswa yang berlangsung di Dewan Al-Bukhari, UiTM Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.

Empangan yang berkapasiti 1,000 MLD itu dilihat antara penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah ketiadaan bekalan air.