Gesa jawatankuasa kerja fokus dalami insiden pencemaran

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jawatankuasa kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim yang diaktifkan kerajaan negeri semalam, digesa mendalami insiden pencemaran toksik di Pasir Gudang itu secara lebih serius dan berfokus.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa kerja tersebut digesa tidak sekadar tunggu dan lihat selain hanya mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu.

“Ini adalah kes kesihatan dan keselamatan yang melibatkan nyawa. Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri dan wakil dari Putrajaya, Kementerian Kesihatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pihak-pihak pakar dan berkaitan mesti dirujuk dan dilibatkan,” katanya di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, jawatankuasa kerja itu digesa menyediakan wakil khas daripada kerajaan negeri untuk berurusan dan memberikan perkembangan terkini kepada semua mangsa dan keluarga terlibat, wakil media serta orang awam.

“Masyarakat tidak seharusnya dibiarkan terkapai-kapai, gelisah serta bimbang akan status kes ini,” katanya.

Beliau turut menggesa jawatankuasa kerja tersebut mohon agar diasingkan satu peruntukkan dana khas untuk membantu semua mangsa dan disalurkan dengan segera.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Gudang itu akui sangat terkesan dan kesal dengan tragedi serta kecelakaan yang terjadi di kawasan tersebut, akibat tindakan tidak bertanggungjawab pihak pengilang dipercayai membuang sisa kimia bertoksik ke dalam Sungai Kim Kim.

“Ia bukan sahaja telah memudaratkan alam sekitar. Malah sehingga kini, 13 sekolah ditutup dan lebih 200 pelajar sekolah, pekerja serta orang awam di kawasan sekitar telah menerima padah dan terpaksa menanggung musibah kesan tindakan yang bukan pun salah mereka.

Artikel Berkaitan:

“Keadaan kini dilaporkan semakin kritikal. Jumlah mereka yang dimasukkan ke hospital dan ICU untuk menerima rawatan juga meningkat. Keadaan keseluruhan belum menunjukkan sebarang perkembangan yang positif,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran kimia: Tular mesej amaran hospital

Pencemaran kimia: Tiga suspek ditahan

Beliau berkata, lebih malang dan sangat dikesalkan adalah kegagalan dan kelemahan kerajaan negeri dalam menguruskan perkara itu, memandangkan sehingga ke saat ini, tiada sebarang ketegasan dapat dilihat.

“Apatah lagi rasa simpati, prihatin atau tanggungjawab kepada semua mangsa dan keluarga mereka. Paling merisaukan, tidak ada jaminan atau kepastian daripada kerajaan negeri atau pihak berwajib. Adakah perkara ini sekarang berada dalam keadaan terkawal dan sedang diuruskan dengan baik?

“Adakah Pasir Gudang kini selamat? Atau adakah keadaan sebenarnya di luar kawalan dan akan terus merebak dan menjadi semakin kronik? Semua ini tidak dijelaskan oleh kerajaan negeri sekali gus menimbulkan rasa panik dan takut dalam kalangan orang awam,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, rakyat juga tidak pasti sama ada kerajaan negeri sebenarnya telah melakukan penilaian komprehensif terhadap pencemaran itu dan sudah mempunyai pelan tindakan atau mitigasi yang jelas atau tidak.

“Atau mereka sendiri sebenarnya masih tidak tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya? Sejak kejadian ini dikesan, tidak wujud tindakan segera atau langkah pengawalan atau pengurusan yang bersesuaian diambil oleh kerajaan negeri,” katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, sebagai sebuah kawasan industri, adalah sangat kritikal untuk kerajaan negeri memastikan kualiti alam sekitar serta tahap keselamatan awam Pasir Gudang serta Johor umumnya, tidak dibiarkan terjejas, merosot dan mengancam nyawa.

Katanya, kes yang sedang berlaku itu menggambarkan dengan sendirinya kelemahan serta tahap ketidakmampuan kerajaan negeri dalam menguruskan isu serius dan membendungnya agar tidak terus menjadi semakin kritikal.

“Saya merakamkan simpati dan ucapan takziah kepada semua mereka yang terkesan dengan tragedi ini dan berharap semua pihak akan mendapat pembelaan yang sewajarnya dari kerajaan negeri,” katanya.