Pencemaran kimia: Tiga suspek ditahan

Situasi murid SK Taman Pasir Putih yang berdepan masalah kesihatan pagi tadi.
Situasi murid SK Taman Pasir Putih yang berdepan masalah kesihatan pagi tadi.
A
A
A

PASIR GUDANG - Tiga individu terdiri daripada dua pemilik kilang dan seorang pekerja ditahan kerana disyaki terlibat dengan kejadian pembuangan sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim, di sini, Khamis lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 40-an hingga 50-an itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kulai dan di Taman Pasir Putih, di sini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Mohammad Ezani Mat Salleh berkata, seorang pemilik kilang memproses bahan kimia di Kulai ditahan jam 7 petang semalam.

Menurutnya, manakala dua individu terdiri seorang pemilik kilang memproses bahan lusuh dan pekerjanya ditahan di Taman Pasir Putih, di sini, jam 12.30 tengah hari tadi.

Mohammad Ezani bersama EXCO Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin meninjau kilang memproses bahan lusuh.
Mohammad Ezani bersama EXCO Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin meninjau kilang memproses bahan lusuh.

"Serbuan pertama dibuat selepas mendapat hasil laporan kimia yang dibuang di sungai itu dan kita mencari kilang yang memproses bahan kimia jenis berkenan di Kulai.

"Hasil pemeriksaan, kita dapati bahan kimia di kilang tersebut hampir sama, namun kita perlu menunggu laporan kimia sampel bahan yang diambil di kilang. Buat masa ini kita menahan pemiliknya untuk membantu siasatan," katanya di sini hari ini.

Mohammad Ezani berkata, serbuan kedua pula dibuat selepas pihaknya mendapat maklumat berkenaan sebuah kilang memproses barangan lusuh kira-kira 500 meter dari lokasi pembuangan sisa bahan kimia tersebut ditemui.

Artikel Berkaitan:

"Ketika diserbu, kita dapati terdapat sejumlah sisa bahan kimia berjadual yang dibungkus dan apabila ditanya, suspek mengaku ia untuk dibuang.

"Ketika ditanya hendak dibuang di mana, suspek hanya menjawab dengan menunjukkan isyarat 'depan sana', jadi kita tahan mereka untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

ARTIKEL BERKAITAN Mangsa pencemaran bahan kimia meningkat