Nelayan harap LPS kluster kerang lulus

Salahuddin menunjukkan tapak tanah di bawah LPS kluster kerang yang dimohon.
Salahuddin menunjukkan tapak tanah di bawah LPS kluster kerang yang dimohon.
A
A
A

PONTIAN - Hampir 70 nelayan di bawah Koperasi Nelayan Ayer Baloi berharap permohonan lesen pendudukan sementara (LPS) kluster kerang di atas tanah seluas 100 hektar di Mukim Ayer Baloi dipertimbangkan.

Pengerusinya, Salahudin Jantan berkata, ia penting bagi nelayan mencari rezeki dengan sumber kerang yang lebih terjamin di kawasan Ayer Baloi yang merupakan hab pengeluaran kerang di daerah ini.

Katanya, pemilikan LPS bagi tujuan kerang telah dilaksana di Selangor dan Perak sebelum ini.

“Saranan dibuat dua tahun lalu agar kami mohon LPS bagi projek kluster kerang daerah Pontian peringkat kebangsaan atas nama persatuan kami ketika itu iaitu Persatuan Komuniti Pengurusan Generasi Ayer Baloi-Pengkalan Ayer Baloi.

“Kami seterusnya mengupah juru ukur tanah bagi proses permohonan dapatkan LPS. Kos ukur tanah RM10,000 ditanggung koperasi,” katanya ketika ditemui Jeti Nelayan Ayer Baloi, semalam.

Kerang menjadi sumber rezeki nelayan di Ayer Baloi.
Kerang menjadi sumber rezeki nelayan di Ayer Baloi.

Salahudin menegaskan pihaknya memandang serius permohonan tersebut memandangkan kebanyakan nelayan di Ayer Baloi bergantung kepada hasil kerang sebagai sumber rezeki.

“Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub pernah lawat kawasan kerang semula jadi di Ayer Baloi, Julai tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Ini menunjukkan kerang adalah hasil utama nelayan di sini sehinggakan menteri turun padang untuk lihat kawasan pengeluaran kerang di sini,” katanya.

Beliau memberitahu nelayan mampu mendapat pendapatan sekitar RM2,000 setiap kali musim menuai kerang.

Justeru, pemuliharaan kawasan tapak kerang perlu diberi perhatian.

“Seandainya LPS diberi, mudah bagi nelayan menjaga kawasan pembiakan kerang di Ayer Baloi. Diharap permohonan kami dipertimbangkan," katanya.