Terap amalan derma darah dalam pendidikan

Foto 123rf (Gambar kecil: Mohd Faiz)
Foto 123rf (Gambar kecil: Mohd Faiz)
A
A
A

SHAH ALAM - Proses pendidikan yang baik tentang kepentingan amalan menderma darah perlu diterapkan kepada masyarakat sejak awal lagi dalam usaha menggalakkan penglibatan lebih ramai masyarakat dalam aktiviti murni terbabit.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, melalui proses pendidikan juga mampu menerapkan nilai tanggungjawab sesama masyarakat.

Menurutnya, ia seterusnya membuatkan masyarakat lebih bersungguh menghulurkan pertolongan sesama sendiri dan menghayati nilai tolong menolong itu sendiri.

“Kesedaran perlu ditingkatkan dahulu melalui pendidikan. Pada masa sama, syarikat swasta juga mungkin boleh memainkan peranan memberikan penghargaan dalam bentuk ganjaran cenderahati lebih menarik kepada mereka yang menderma darah.

“Jika diikutkan, amalan menderma darah ini tidak ternilai harganya. Tapi usaha-usaha ini boleh menggalakkan orang ramai untuk turut serta,” katanya.

Sementara itu, Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Faiz Shuhaimi berkata, pengiktirafan kepada belia yang kerap terlibat menderma darah wajar diberikan sebagai contoh kepada masyarakat.

Katanya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Kesukarelawan MBM, golongan terbabit boleh diiktiraf sebagai ikon gaya hidup sihat.

“Amalan menderma darah adalah amalan mulia yang turut menyumbang kepada gaya kehidupan sihat yang sewajarnya menjadi ikutan belia.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, program derma darah bergerak dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan belia perlu diperkasakan lagi,” katanya.