Akta Pergigian baharu berkuat kuasa 1 Januari depan

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Akta Pergigian 2018 (Akta 804) akan berkuat kuasa mulai 1 Januari depan bagi menggantikan Akta Pergigian 1971 (Akta 51) yang telah mengawal selia amalan dalam bidang pergigian selama 50 tahun.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, suatu akta baharu yang mempunyai bidang kuasa lebih luas peruntukan, merangkumi semua aspek pengamalan pergigian terkini adalah diperlukan seiring dengan perkembangan pengamalan dan teknologi dalam bidang pergigian.

Beliau berkata, akta mengandungi sembilan bahagian dan 104 seksyen itu mensyaratkan hanya pengamal yang berkelayakan, berwibawa dan profesional akan didaftarkan serta layak untuk memberi perkhidmatan pergigian.

“Dengan ini, kualiti perkhidmatan pergigian dan keselamatan pesakit adalah terjamin serta meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan pergigian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Akta 804 turut memperuntukkan penubuhan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) dan Lembaga Juruterapi Pergigian Malaysia, pendaftaran doktor pergigian dan juruterapi pergigian, pengawalseliaan amalan pergigian dan perkara berkaitan.

Akta berkenaan juga membolehkan penguatkuasaan diambil bagi amalan pergigian yang tidak mematuhi peruntukan akta terutamanya pengamalan pergigian haram, katanya.

Menurut Khairy, antara peruntukan baharu dalam akta berkenaan adalah Peperiksaan Kelayakan Profesional bagi tujuan pendaftaran sebagai doktor pergigian, pendaftaran pakar pergigian dan juruterapi pergigian.

Ia turut memperuntukkan keperluan pengumpulan mata Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dan Perlindungan Tanggung Rugi Profesional bagi permohonan perakuan pengamalan dan penguatkuasaan dalam amalan pergigian.

Artikel Berkaitan:

“Semua pengamal akan diwajibkan mengumpul markah CPD dan memperoleh Perlindungan Tanggung Rugi Professional, sebelum memperbaharui perakuan pengamalan. Bagaimanapun, peruntukan ini hanya akan dikuat kuasa pada 1 Januari 2025,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, semua graduan pergigian yang ingin berdaftar dengan MPM perlu memastikan mereka lulus Peperiksaan Kelayakan Profesional.

Bagi yang mempunyai kelulusan yang tersenarai di dalam Jadual Kedua Akta Pergigian 1971, mereka dibenarkan untuk mendaftar dengan MPM tanpa perlu menduduki Peperiksaan Kelayakan Profesional dan kebenaran tersebut hanya terpakai bagi tempoh lima tahun dari tarikh akta berkuat kuasa iaitu dari 1 Januari depan hingga 31 Disember 2026, katanya.

"Di bawah akta ini, doktor pergigian yang telah berdaftar dengan MPM boleh memilih untuk menjalankan khidmat wajib di perkhidmatan awam ataupun swasta," katanya.

Beliau berkata, doktor pergigian yang mempunyai kelayakan pakar lepas ijazah yang diluluskan oleh majlis boleh memohon untuk didaftarkan sebagai pakar pergigian dalam mana-mana 12 kepakaran pergigian bermula Februari 2022.

Antara kepakaran yang disenaraikan buat masa ini adalah bedah mulut dan maksilofasial, pergigian pediatrik, pergigian konservatif dan ortodontik.

Maklumat lanjut berkaitan penguatkuasaan Akta 804 boleh didapati dengan menghubungi Program Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan menerusi e-mel ohd@moh.gov.my atau MPM di mdc@moh.gov.my. - Bernama