Tajaan JPA bagi pelajar perubatan, pergigian, farmasi diteruskan

Anwar pada program Temu Anwar@USM di Dewan Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini pada Ahad.
Anwar pada program Temu Anwar@USM di Dewan Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini pada Ahad.
A
A
A

GEORGETOWN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa tajaan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diteruskan.

Anwar berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan situasi semasa yang mana masih terdapat keperluan bagi sektor-sektor terbabit dalam negara.

Menurutnya, daripada perjumpaan khas antara beliau dan JPA pada minggu lalu, JPA mengatakan pemberhentian tajaan itu adalah berdasarkan kepada dasar sedia ada.

"Sejak minggu lalu saya ada perjumpaan khas dengan JPA dan mereka kata itu (menghentikan tajaan) adalah dasar sedia ada, dasar yang lalu.

"Jadi saya minta dikaji semula berdasarkan unjuran kita yang mana keperluan sektor perubatan, pergigian dan farmasi itu masih ada.

"Maknanya program biasiswa JPA untuk sektor-sektor ini akan diteruskan," katanya dalam program Temu Anwar@USM di Dewan Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini pada Ahad.

Program tersebut dihadiri lebih 5,000 pelajar daripada USM dan beberapa institusi pengajian tinggi dari seluruh negara.

Anwar mengumumkan perkara itu ketika menjawab soalan salah seorang peserta program berhubung keputusan kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan kajian Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali seperti dilaporkan media pada Sabtu berkata, Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 melaporkan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 akan dapat dicapai pada 2025.

Bagaimanapun, pada Ahad, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM sedang mengadakan perbincangan semula bersama JPA berhubung langkah menghentikan tajaan itu.

Keputusan itu juga akan dikaji semula berlandaskan kajian pada tahun 2019 terbabit memandangkan terdapat beberapa perubahan baharu khususnya pasca Covid-19.