Pembangkang tidak lari daripada politik hasutan kaum: Fadillah

Fadillah
Fadillah
A
A
A

KUCHING - Propaganda DAP dan Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan politik hasutan kaum, jelas meruntuhkan keharmonian pelbagai kaum dan agama di Sarawak.

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tindakan itu merupakan mainan pembangkang setiap kali pilihan raya diadakan.

"Tidak ketinggalan, penggunaan taktik ini termasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, propaganda mereka secara tidak langsung mengendahkan rekod cemerlang GPS dalam mengekalkan keharmonian kaum-agama di Sarawak sejak beberapa dekad lalu.

"Bagi maklumat pihak berkenaan, rekod ini menyaksikan Sarawak diakui sebagai wilayah paling harmoni dan bertolak ansur di seluruh negara," tambah Fadillah.

Ahli Parlimen Petrajaya itu menegaskan, mereka sepatutnya datang ke Sarawak dan melihat bagaimana etnik di Sarawak menikmati keamanan dan keharmonian yang dicemburui di Malaysia ini.

Dalam pada itu, beliau menambah bahawa PH dan DAP terus mengabaikan perkara itu dan perjanjian MA63, iaitu Sarawak mempunyai autonomi penuh ke atas kewangan, agama dan penggunaan bahasa yang akan dipertahankan GPS sehingga akhir.

"Adakah PH dan DAP sudah lupa mereka adalah rakan kongsi Pas dalam pilihan raya Sarawak sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Mereka turut menuduh GPS bekerjasama dengan Pas untuk menjejaskan keharmonian di Sarawak sedangkan Pas turut menghantar calon menentang GPS pada pilihan raya kali ini," kata Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Sehubungan itu, beliau menaruh kepercayaan kepada rakyat supaya tidak terpengaruh dengan taktik yang menimbulkan keraguan dan fitnah terhadap pendirian kerajaan malah GPS akan terus berdiri teguh melindungi perpaduan kaum dan agama di Sarawak.


Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my