PRN Sarawak saksi peralihan sokongan Cina kepada GPS

Abang Johari bersama pimpinan tertinggi parti meraikan kemenangan selepas GPS memenangi PRN Sarawak ke-12 dengan jumlah kerusi melebihi majoriti mudah di Borneo Convention Centre Kuching pada Sabtu. - Foto Bernama
Abang Johari bersama pimpinan tertinggi parti meraikan kemenangan selepas GPS memenangi PRN Sarawak ke-12 dengan jumlah kerusi melebihi majoriti mudah di Borneo Convention Centre Kuching pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang membolot 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 semalam mengujakan banyak pihak kerana menyaksikan peralihan sokongan pengundi Cina kepada kerajaan.

GPS begitu mantap dalam menawan 12 daripada 16 kerusi yang majoriti pengundinya kaum Cina sekali gus mempamerkan prestasi terbaik gabungan politik itu dalam tempoh 15 tahun.

Keputusan itu mengejutkan pembangkang DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB), yang masing-masing hanya mampu menang di dua kerusi.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

SUPP, yang dipimpin presidennya Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, meraih 11 kerusi dengan penambahan lima DUN baharu yang dirampas kembali daripada DAP sambil mempertahan enam kerusi yang dimenangi pada 2016.

Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing pula memenangi kerusi Dudong untuk GPS dalam penampilan pertama beliau di kawasan yang majoriti pengundinya kaum Cina.

Dr Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah memberi pandangan mengenai sama ada peralihan sokongan pengundi Cina kepada kerajaan akan berkekalan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 yang disebut-sebut bakal diadakan.

“Sama ada ini hanyalah satu permulaan masih belum dapat dipastikan namun hakikatnya pengundi Cina memang sudah berubah angin menyokong kerajaan dan ini menandakan mereka sanggup memberi mandat dan peluang kepada GPS khususnya SUPP untuk membuktikan bahawa mereka boleh berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

“Adakah momentum ini akan berterusan? Ini bergantung kepada prestasi mereka yang menang untuk meyakinkan para pengundi bahawa mereka telah membuat pilihan yang tepat.”

Masyarakat Cina juga akan melihat sama ada Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan melantik semula seorang Timbalan Ketua Menteri dari kaum itu dalam Kabinet baharunya. Presiden SUPP terakhir yang memegang jawatan itu ialah Tan Sri George Chan yang tewas mengejut di Piasau kepada calon muka baharu daripada DAP pada 2011.

Memandangkan pandemik Covid-19 telah berlanjutan sehingga dua tahun setakat ini, tumpuan utama komuniti Cina ialah mencari rezeki dan memastikan kesinambungan perniagaan mereka di bawah ekonomi dan kerajaan yang stabil.

Kuok Tiung berkata, meskipun ada yang mungkin menganggap isu harian sedemikian remeh berbanding perbincangan tentang reformasi, beliau percaya parti politik harus kembali kepada asas untuk menyelami kesusahan dan keperluan rakyat.

Walaupun ditolak pada pilihan raya negeri kali ini, pembangkang tidak akan lenyap semudah itu namun mereka harus mencari identiti baharu untuk menarik semula perhatian pengundi.

“Misalnya PKR Sarawak memerlukan kepimpinan baharu yang lebih kuat. PSB pula adalah sebuah parti baharu dan masih memerlukan masa untuk memantapkan imej parti termasuk calonnya manakala DAP perlu menjenamakan semula parti itu dengan kepimpinan selain Chong Chieng Jen dan Violet Yong,” kata Lee, merujuk kepada Chong, Pengerusi DAP Sarawak yang menang di Padungan serta Yong, yang mempertahan Pending untuk penggal keempat dengan susutan majoriti ketara berbanding 2016.

Menariknya, Chong ialah Ahli Parlimen Stampin di mana ketiga-tiga DUN di kawasan itu iaitu Kota Sentosa, Batu Kitang dan Batu Kawah kini dikuasai SUPP. Batu Kawah adalah kerusi yang dipertahan oleh Presiden SUPP bagi penggal kedua.Peratusan keluar mengundi tertinggi dan terendah di kawasan majoriti Cina adalah di Bawang Assan, Sibu dan Batu Lintang, Kuching yang kedua-duanya dipertahan oleh PSB.

Bawang Assan ditawan semula oleh presiden parti itu Datuk Seri Wong Soon Koh, yang menyaksikan 70 peratus keluar mengundi manakala Batu Lintang mencatat kehadiran hanya 42 peratus yang memberikan majoriti tipis 93 undi kepada See Chee How untuk penggal ketiga.

Selepas semalam, SUPP menguasai Kota Sentosa, Batu Kitang, Batu Kawah, Repok, Meradong, Bukit Assek, Pelawan, Tanjung Batu, Piasau, Pujut dan Senadin, PDP menawan Dudong, PSB memegang Bawang Assan dan Batu Lintang manakala DAP mempertahan Padungan dan Pending. - Bernama