20 pelajar MRSM jalani kuarantin dilaporkan stabil

Azizah menandatangani plak simbolik merasmikan pembukaan outlet Canggih Go pertama di Perak sambil diperhatikan Pengarah Urusan Sutera Canggih Sdn Bhd, Rozamir Zulkifli (kanan) di Ampang Baru, Ipoh pada Jumaat.
Azizah menandatangani plak simbolik merasmikan pembukaan outlet Canggih Go pertama di Perak sambil diperhatikan Pengarah Urusan Sutera Canggih Sdn Bhd, Rozamir Zulkifli (kanan) di Ampang Baru, Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Seramai 20 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar menjalani tempoh kuarantin selepas berlaku penularan jangkitan Covid-19 di institusi itu minggu lalu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, mereka tidak dibenarkan pulang sehingga tamat menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari walaupun cuti penggal sekolah sudah bermula.

Menurutnya, kesihatan pelajar terbabit kini dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan dilaporkan kesemuanya dalam keadaan stabil.

"Pelajar yang lain sudah dibenarkan pulang dan mula bercuti sejak semalam (Khamis) dan hari ini (Jumaat), manakala mereka yang dijangkiti perlu tunggu habis tempoh kuarantin baru boleh dibenarkan pulang," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Program Canggih Go dan Perasmian Outlet Perak di Ampang Baru, di sini pada Jumaat.

Azizah berkata, prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat akan dilaksanakan pada sesi persekolahan akan datang bagi mengekang penularan wabak itu nanti.

Beliau turut memaklumkan terdapat sebilangan kecil guru yang tidak mendapat suntikan vaksinasi Covid-19 kerana mempunyai masalah kesihatan.

"Jumlah itu amatlah kecil berbanding keseluruhan 5,143 guru di MRSM dan Institusi Pendidikan Mara di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kita akan pastikan mereka menjalani ujian saringan terlebih dahulu sebelum bersemuka dengan pelajar," katanya.

Sementara itu, menurut Azizah, Mara menyasarkan pembukaan outlet di setiap negeri bagi membantu usahawan dalam bidang tekstil menerusi Program Pembangunan Usahawan Canggih Go.

"Setakat ini, pendapatan yang dicatatkan hampir RM8 juta tahun ini. Ini merupakan satu galakan kepada usahawan yang terlibat untuk melonjakkan jualan mereka.

"Melalui program ini, ia bukan sahaja meningkatkan kemampuan usahawan sebaliknya ia membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutama kepada pelajar-pelajar Giat Mara," katanya.

Azizah turut menyampaikan sumbangan kepada 15 anak-anak asnaf berupa barangan keperluan sekolah di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Didik Negara.