Pelancaran Bulan Kebangsaan di Bulatan Sultan Azlan Shah esok

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 dengan tema 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” akan disempurnakan pada Ahad. - Foto FB Bulatan Sultan Azlan Shah
Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 dengan tema 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” akan disempurnakan pada Ahad. - Foto FB Bulatan Sultan Azlan Shah
A
A
A

IPOH - Selepas diadakan di Putrajaya tahun lepas, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 dengan tema "Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” akan disempurnakan di sini pada Ahad menawarkan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung.

Menyasarkan kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, lokasi ini bakal menjadi saksi semangat kebangsaan disemarakkan melalui program tahunan ini.

Majlis pelancaran esok akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan pada jam 10 pagi.

Sebelum itu, akan diadakan program 6,600 Langkah Perpaduan yang dijadual bermula 6.30 pagi yang bakal dilepaskan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Fadilah juga dijadual akan melepaskan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 disertai kenderaan Jabatan Penerangan (JaPen) dan agensi kerajaan bersama motosikal berkuasa tinggi dan komuniti setempat yang bakal menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia.

Sempena pelancaran itu, turut diadakan Karnival Kita Madani dengan pelbagai aktiviti menarik iaitu Jualan Rahmah, pertandingan bintang patriotik, kuiz kenegaraan, persembahan artis dan pelbagai lagi.

Polis Diraja Malaysia pula akan membuka kaunter bayaran saman yang menawarkan pengurangan saman terpilih sebanyak 50 peratus bermula dari 8.30 pagi hingga 3 petang esok.

Pada Sabtu di venue sama, sempena karnival itu Jualan Rahmah telah bermula dari jam 2.30 petang sehingga 10 malam, reruai pempamer yang menawarkan jualan produk usahawan, pameran serta kaunter perkhidmatan agensi kerajaan persekutuan dan negeri.

Malam ini akan berlangsung Forum Perdana Hal Ehwal Islam dengan tajuk "Legasi Merdeka” pada pukul 9 malam yang akan turut dihadiri Fahmi.

Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos akan diadakan di Dataran Putrajaya manakala Sambutan Hari Malaysia pada 16 September berlangsung di Kuching, Sarawak. - Bernama