Status MySejahtera Rosmah jingga, bicara rasuah ditangguh

Rosmah Mansor
Rosmah Mansor
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat dilapangkan selepas status MySejahtera isteri bekas Perdana Menteri itu masih menunjukkan beliau mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Semasa prosiding bela diri kes rasuah membabitkan projek hibrid solar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah berkata, status terkini MySejahtera anak guamnya berwarna jingga.

Bagaimanapun, Rosmah yang menyambut hari kelahiran ke-70 pada Jumaat tetap hadir di mahkamah dan menunggu di dalam kereta Proton Perdana beliau.

Jagjit Singh berkata, kehadiran anak guamnya disahkan oleh pendaftar mahkamah sejurus Rosmah tiba di lobi mahkamah.

Berikutan itu, Hakim Mohamed Zaini memohon agar Rosmah dapat hadir dalam prosiding yang dijadualkan pada Isnin depan.

Pada hari berkenaan, beliau berkata, perlu dipastikan sama ada status MySejahtera Rosmah bertukar warna biru atau sebaliknya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram mencadangkan perbicaraan dijalankan secara dalam talian.

Menurutnya, Rosmah boleh memberi keterangan secara dalam talian atau hibrid sama ada di pejabat peguam atau di kediamannya, dengan kehadiran pihak pembelaan dan pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Hakim Mohamed Zaini berkata, beliau ada memikirkan perkara itu, namun tiada statut (peruntukan) undang-undang mengenainya.

“Saya tidak mahu menjejaskan keseluruhan perbicaraan hanya sebab ia okey pada peringkat ini. saya mahu lebih berhati-hati.

“Saya ada memikirkan perkara itu, namun tiada peruntukan undang-undang mengenainya,” jelas beliau.

Mahkamah kemudian menetapkan lima hari iaitu pada 13, 23 dan 24 Disember serta 13 dan 14 Januari depan untuk prosiding seterusnya.

Rosmah, 70, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.