MAIWP pelawa media jadi agensi penasihat

Muhd Daud (kiri) menyampaikan plak penghargaan kepada wakil akhbar Sinar Harian sempena Majlis Apresiasi Pengerusi MAIWP Bersama Pengamal Media di Kuala Lumpur pada Rabu.
Muhd Daud (kiri) menyampaikan plak penghargaan kepada wakil akhbar Sinar Harian sempena Majlis Apresiasi Pengerusi MAIWP Bersama Pengamal Media di Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mempelawa media menjadi agensi penasihat kepada institusi berkenaan.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Muhd Daud Bakar berkata, jalinan kerjasama itu adalah jambatan tanpa sempadan untuk bertukar pandangan dan idea baharu ke arah menjadikan MAIWP sebagai agensi arus perdana.

"Ini kerana MAIWP menyantuni komuniti besar dengan bajet lebih RM1 bilion setiap tahun dan sudah pasti media diperlukan bagi meleraikan isu-isu dalam masyarakat.

"Harapan kami agar dapat merapatkan lagi hubungan dengan media. Kita akan adakan program secara berterusan atau berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun supaya suara media dapat didengar, bukan hanya suara MAIWP sahaja," katanya pada Majlis Apresiasi Pengerusi MAIWP Bersama Pengamal Media di sini pada Rabu.

Tambah beliau, hubungan rapat itu juga akan diterjemah dalam bentuk lain, misalnya kesukanan dan pertolongan zakat kepada petugas media yang memerlukan bantuan kewangan seperti sakit serta tawaran biasiswa jika dalam kategori asnaf.

"Sebagai permulaan, kami akan menghantar surat tawaran rasmi kepada agensi pemberita bermula tahun hadapan dan membawakan isu penting untuk perkongsian data.

"Kita akan buat pertukaran data antara media dan MAIWP agar tiada golongan tercicir dalam masyarakat," kata beliau.

Artikel Berkaitan: