Aksi dodoi anak buaya 'Ali dan Acong' curi perhatian ramai

KUALA LUMPUR - Digeruni sebagai pemangsa ganas, siapa sangka Sang Bedal mampu menjadi sejinak merpati sehinggakan dapat lena dalam dakapan penjaganya, tidak ubah seperti bayi.
Klip video memaparkan gelagat Ali dan Acong, dua ekor anak buaya berusia dua tahun lima bulan, tertidur selepas dibelai dan didodoi menarik perhatian warga maya dan tular di media sosial baru-baru ini.
Menariknya, menurut Pengurus Zoologi 99 Wonderland Park (Wildlife In The City) Mohd Rizal Manoor, dua ekor anak buaya itu juga merupakan "anak sulung” Goldie dan pasangannya Lipis, yang menetas secara semula jadi di taman berkenaan.
"Goldie baru belajar bertelur, jadi belum pandai menyusun telur untuk pastikan semua terdedah kepada suhu yang sesuai. Daripada kira-kira 30 biji telur yang dihasilkan, cuma dua yang berjaya menetas,” katanya ketika ditemui Bernama di taman hidupan liar bandar dan rekreasi itu yang terletak di Selayang, dekat sini.

Mohd Rizal yang berpengalaman 18 tahun mengendalikan pelbagai jenis reptilia, berkata kedua-dua anak buaya itu telah dibiasakan dengan kehadiran manusia termasuk mendengar panggilan nama masing-masing, selain dilatih secara berperingkat bagi membolehkan penjaga memahami tingkah laku haiwan terbabit.
"Kalau saya masuk dalam kandang, saya akan panggil Ali dan Acong. Saya biasakan mereka mendengar nama masing-masing kerana buaya pun boleh mendengar. Dalam masa sama, saya cuba buat perkara lain seperti mendodoikan mereka dan menyuruh mereka mengeluarkan bunyi,” katanya.
Menurut Mohd Rizal, kedua-dua anak buaya itu mempunyai sifat berbeza dengan Ali lebih tenang dan mudah dikendalikan berbanding Acong yang agak agresif, terutamanya apabila berada dalam keadaan tidak selesa.
"Masing-masing dapat dibezakan melalui corak bintik hitam pada bahagian tengkuk dengan Ali mempunyai empat bintik besar, manakala Acong memiliki dua bintik besar dan dua bintik kecil. Ali juga lebih gemar berjemur sementara Acong suka berendam,” katanya.
Tentang rutin penjagaan, Mohd Rizal berkata kedua-dua anak buaya itu diberi makan dua kali seminggu, sementara buaya dewasa pula sekali seminggu kerana reptilia karnivor tersebut mempunyai sistem pencernaan yang perlahan.
"Ketika kecil, saya beri mereka makan udang, cengkerik, ikan dan potongan ayam. Sekarang mereka sudah boleh makan anak ayam. Pada mulanya saya suapkan makanan, tetapi apabila semakin besar, saya biarkan mereka mencari makanan sendiri,” katanya.
Di sebalik pengalaman luas beliau dalam mengendalikan haiwan pemangsa itu, Mohd Rizal juga tidak terkecuali daripada mengalami kecederaan akibat digigit.
"Saya gunakan pengalaman saya menguruskan pelbagai reptilia untuk mendidik pengunjung tentang tingkah laku haiwan berkenaan serta langkah keselamatan yang perlu dipatuhi melalui demonstrasi.
"Apabila kita hanya bercakap, orang mungkin tidak faham. Tetapi apabila mereka melihat haiwan itu di depan mata, barulah mereka dapat memahami perangainya,” katanya.
Mohd Rizal yang pernah berkhidmat di Taman Buaya Melaka serta Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka turut bertanggungjawab mengurus serta menyelia pelbagai jenis haiwan lain termasuk ular berbisa, lemur, kapibara, rakun serta burung unta di taman seluas sembilan hektar itu.
"Kalau nak kerja dengan haiwan, kena ada sifat berani dan minat yang betul-betul mendalam. Bukan sekadar minat sahaja kerana, kalau tiada minat yang kuat, memang susah untuk bertahan dalam bidang ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
