Lombong bijih besi diserbu, 30 PATI dicekup

RANTAU PANJANG – Seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan di sebuah lombong bijih besi di Kampung Gual Dalam, Lubok Setol di sini pada Khamis.
Serbuan menerusi Op Taring Wawasan itu dijalankan oleh Cawangan Risik Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas kira-kira jam 5 pagi.
Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan membabitkan 16 lelaki warga Bangladesh serta 14 Indonesia terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita.

Menurut beliau, kesemua individu ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Tambahnya, pemeriksaan dilakukan di beberapa kabin yang dijadikan tempat penginapan pekerja di kawasan lombong berkenaan.
"Pemeriksaan mendapati terdapat individu yang disyaki menyalahgunakan permit kerja, manakala sebahagian lagi disyaki tinggal di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
"Selain itu terdapat dokumen pasport yang mencurigakan atau disyaki sudah tamat tempoh, selain individu yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan untuk pemeriksaan," katanya.

Ujar beliau, kesemua mereka dibawa ke BSJD IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya lagi, operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat risikan bagi mengesan dan membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya kesalahan imigresen serta penyalahgunaan permit kerja di kawasan sempadan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

