Polis Kelantan gesa perolehan radar pengawasan laut dipercepat

Mohd Yusoff (kiri) melakukan tinjauan di perairan Sungai Kelantan di Tumpat dan Kota Bharu yang dipercayai menjadi laluan baharu penyeludupan PATI ke negara ini.
Mohd Yusoff (kiri) melakukan tinjauan di perairan Sungai Kelantan di Tumpat dan Kota Bharu yang dipercayai menjadi laluan baharu penyeludupan PATI ke negara ini.
A
A
A

TUMPAT - Polis Kelantan menggesa proses perolehan sistem radar pengawasan laut di sempadan negara dipercepatkan bagi mengesan pergerakan bot penyeludup dan membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kemudahan itu membolehkan pihak berkuasa memantau pergerakan bot dari seberang sempadan Malaysia-Thailand dengan lebih berkesan, termasuk pada waktu malam.

Menurutnya, maklumat mengenai saiz, kelajuan dan jenis bot dapat dikenal pasti menerusi radar sebelum tindakan penguatkuasaan digerakkan oleh pasukan keselamatan.

"Melalui radar ini, kita boleh berkongsi pemantauan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk mengesan apa jua pergerakan bot dari seberang yang mahu masuk ke negara kita.

"Apabila maklumat diperoleh melalui radar, anggota kita boleh bersiap sedia di pangkalan sebelum digerakkan ke lokasi sasaran," katanya pada sidang media Khamis.

Terdahulu, beliau meninjau perairan Sungai Kelantan di Tumpat dan Kota Bharu yang dipercayai menjadi laluan baharu penyeludupan PATI ke negara ini susulan penutupan sepenuhnya pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sejak 1 Disember 2024.

Mohd Yusoff berkata, penggunaan teknologi itu penting kerana rondaan secara konvensional di laut, khususnya pada waktu malam berdepan kekangan penglihatan yang menyukarkan pengesanan bot mencurigakan.

Ujarnya, keadaan menjadi lebih mencabar apabila bot penyeludup tidak memasang lampu ketika bergerak, sekali gus menyukarkan pasukan keselamatan mengesan pergerakan mereka di perairan sempadan.

"Kalau kita meronda di laut dalam keadaan gelap, kita tidak nampak apa-apa. Bot penyeludup pula tidak memasang lampu, jadi bagaimana anggota hendak mengesan mereka?

Artikel Berkaitan:

"Sebab itulah sistem radar di sempadan ini sangat diperlukan," katanya.

Beliau berkata, keperluan mendapatkan sistem radar berkenaan sudah diperjuangkannya sejak lebih 20 tahun lalu ketika berkhidmat dalam PPM.

Katanya, keperluan memperkukuh pengawasan maritim itu turut dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Bilangan 2 Tahun 2026 ketika sesi bersama Panglima Briged Kelapan pada 23 September lalu.

Menurutnya, perolehan sistem berkenaan perlu diberi perhatian bagi membolehkan pemantauan perairan sempadan dilaksanakan secara lebih sistematik dan tindakan terhadap kegiatan rentas sempadan dapat digerakkan dengan pantas.

"Pelaksanaan sistem itu dijangka memperkukuh keupayaan pengesanan awal pihak berkuasa, sekali gus membantu mengekang kemasukan PATI dan kegiatan penyeludupan melalui laluan laut yang sukar dipantau, terutama pada waktu malam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Artikel Disyorkan