Sungai Kelantan bakal digempur, basmi PATI

Mohd Yusoff (dua,kiri) melakukan tinjauan ke perairan di Sungai Kelantan di Tumpat serta Kota Bharu yang dipercayai menjadi laluan baharu penyeludupan PATI ke negara ini selepas pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok ditutup sepenuhnya sejak 1 Disember 2024. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Mohd Yusoff (dua,kiri) melakukan tinjauan ke perairan di Sungai Kelantan di Tumpat serta Kota Bharu yang dipercayai menjadi laluan baharu penyeludupan PATI ke negara ini selepas pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok ditutup sepenuhnya sejak 1 Disember 2024. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

TUMPAT - Sungai Kelantan yang menjadi laluan baharu penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) susulan penutupan pangkalan haram di Sungai Golok bakal digempur menerusi operasi besar-besar dalam masa terdekat.

Operasi itu akan digerakkan dengan penyelarasan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), susulan kejayaan projek rintis yang dilaksanakan sebelum ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi berkenaan akan diperluaskan dalam masa terdekat bagi menutup ruang kemasukan PATI melalui laluan sungai yang dikenal pasti menjadi antara laluan utama ke negeri ini.

Menurut beliau, projek rintis yang dijalankan pada 7 Oktober lalu dari jam 7 malam hingga 7 pagi berjaya menyekat kemasukan melalui laluan berkenaan sepanjang tempoh operasi.

"Alhamdulillah, ketika kita membuat sekatan, tiada kemasukan dikesan pada waktu itu. Kita juga membuat tangkapan membabitkan dua kes dengan sembilan tangkapan, iaitu lapan PATI dan seorang tekong darat," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu, beliau melakukan tinjauan ke perairan di Sungai Kelantan di sini serta Kota Bharu yang dipercayai menjadi laluan baharu penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini selepas pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok ditutup sepenuhnya sejak 1 Disember 2024.

Ujar beliau, operasi susulan akan menggunakan pendekatan penugasan mengikut sektor bagi memastikan laluan masuk dari perairan sempadan hingga ke kawasan pendaratan di darat dapat dikawal dengan lebih berkesan.

Jelasnya, laluan utama yang diberi perhatian ialah Kuala Tumpat dan Kuala Besar, termasuk Sungai Kelantan yang menjadi laluan pergerakan bot ke kawasan penempatan penduduk di Tumpat, Kota Bharu dan sekitarnya.

"Di kawasan Teluk Renjuna, kita membuat sekatan atau 'cut-off' dengan menempatkan bot serta anggota bagi menghalang bot daripada meneruskan perjalanan masuk ke sungai.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah mengenal pasti modus operandi mereka, termasuk laluan yang digunakan dan kawasan pendaratan," katanya.

Mohd Yusoff memberitahu, hasil mesyuarat Jawatankuasa Gerakan Penguatkuasaan Negeri (GPJN) pada 23 September lalu turut membawa kepada pelaksanaan projek rintis menerusi kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) dan Maritim Malaysia.

Beliau berkata, mesyuarat susulan yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan pada 20 Oktober lalu pula membabitkan perancangan operasi bersepadu dengan penglibatan agensi penguat kuasa di laut dan darat.

Menurutnya, pembahagian kawasan operasi sudah dirancang bagi membolehkan setiap agensi memberi tumpuan kepada sektor masing-masing, manakala penempatan anggota polis di kawasan pendaratan turut disusun bagi menghalang kemasukan tanpa melalui pemeriksaan sah.

"Di darat, kita turut menyusun penempatan kenderaan peronda dan anggota di balai serta lokasi pendaratan yang dikenal pasti.

"Kita juga mahu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama polis di setiap sekatan jalan raya bagi mengesahkan ketulenan dokumen perjalanan kerana kepakaran itu ada pada pihak imigresen," katanya.

Menurut beliau, operasi berkenaan akan diperkukuhkan lagi pada fasa seterusnya dengan penggunaan kapal lebih besar oleh PPM bersama Maritim Malaysia bagi melaksanakan sekatan di sepanjang perairan sempadan.

Ujarnya, penggunaan sistem radar pengawasan laut juga perlu dipercepatkan bagi membolehkan pergerakan bot dikesan dari pusat pemantauan sebelum anggota digerakkan ke lokasi sasaran.

"Melalui radar, kita boleh mengetahui saiz bot, kelajuan dan jenisnya. Jadi, anggota tidak perlu meronda sepanjang malam tanpa dapat melihat pergerakan bot yang tidak memasang lampu.

"Apabila pergerakan dikesan di pejabat, kita boleh mengarahkan pasukan yang bersiap sedia di pangkalan untuk bertindak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!