Keperluan gerai ditentukan berdasarkan cadangan pembangunan

Ng Sze Han
Ng Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Keperluan gerai di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan ditentukan berdasarkan komponen serta jenis pembangunan dicadangkan di bandar raya berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri, Ng Sze Han berkata, pembinaan gerai pula hendaklah berdasarkan Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor Edisi Ketiga yang diluluskan Exco Kerajaan Negeri.

"Pembangunan gerai-gerai tersebut hendaklah mengambil kira lokasi perletakan gerai, contohnya ditempatkan di kawasan strategik dan tidak berdekatan dengan jalan-jalan utama yang sibuk.

"MBSA juga mensyaratkan bagi pembangunan selepas tahun 2000, semua tapak-tapak dikhaskan untuk pembangunan gerai ini dibina dan diserahkan kepada majlis untuk diuruskan melalui proses penyewaan berdasarkan kriteria ditetapkan," katanya ketika sesi Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke -14 di sini pada Khamis.

Sze Han berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Shatiri Mansor (PKR-Kota Damansara) mengenai dasar kerajaan dalam pembangunan gerai-gerai di kawasan MBSA dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sementara itu, Sze Han yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara berkata, pihak majlis sentiasa memastikan gerai-gerai sedia ada mencapai kehendak pemegang taruh dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Sehubungan itu, MBSA telah membina beberapa gerai di dalam kawasan pentadbiran yang bersesuaian mengikut cita rasa dan keadaan semasa penduduk setempat.

"Antara gerai-gerai yang baru dibina oleh MBSA ialah di Seksyen 25, Seksyen U10 dan Seksyen 15 Shah Alam," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, gerai sedia ada juga akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa terutama membabitkan struktur binaan supaya dapat memberikan keselesaan kepada pengguna.

Dalam menjamin pembangunan gerai bagi kawasan MBPJ, beliau berkata, terdapat beberapa pendekatan yang dilaksanakan di kawasan majlis bandar raya berkenaan.

Antaranya ialah pihak pemaju perlu menyediakan kemudahan gerai atau medan selera atau kios sebanyak dua peratus daripada keluasan lantai bersih bagi skim pembangunan perniagaan (pusat beli-belah).

"Pembangunan gerai-gerai baharu di tapak yang telah diserahkan oleh pihak pemaju, penggunaan peruntukan dengan bajet pembangunan oleh majlis akan dikemas kini dari semasa ke semasa," ujarnya.

Tambah beliau, pihak majlis turut melaksanakan penyelenggaraan berkala bagi memastikan gerai-gerai boleh digunakan mengikut keadaan semasa dengan pelantikan kontraktor penyelenggaraan tahunan.