Ordinan Darurat: Berita tidak benar libatkan Covid-19, Proklamasi Darurat

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Negara hari ini diberitahu skop penggunaan berita tidak benar dalam Ordinan Darurat hanya melibatkan maklumat berkaitan Covid-19 atau Proklamasi Darurat sahaja.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata 'berita tidak benar' mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 merangkumi apa-apa berita, maklumat, data dan laporan yang keseluruhan atau sebahagiannya palsu berhubung Covid-19 atau proklamasi darurat.

“Berita yang tular itu sama ada dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk yang boleh menggambarkan perkataan selain idea,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021, di sini.

Mengenai isu manipulasi Ordinan Darurat oleh kerajaan kepada pengamal media dan pengguna media sosial, Zahidi berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia mempunyai pegawai pengesah yang dilantik menerusi kerjasama antara agensi.

Beliau berkata, pegawai pengesah tersebut mewakili kementerian atau jabatan berkaitan antaranya Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan beberapa agensi lain yang banyak membantu polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia membuat penyiasatan.

“Penubuhan pasukan bertindak penguatkuasaan Ordinan juga banyak membantu menyelaras sebarang isu berbangkit... dengan pegawai pengesah mengesahkan sama ada berita terbabit adalah benar atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya berita berkenaan didapati tidak benar, pihak polis akan dimaklumkan untuk membuat siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat.

Menurut Zahidi, sejak ordinan berkenaan berkuat kuasa bermula 12 Mac hingga 6 Disember lalu, 30 kertas siasatan dibuka bagi tindakan penguatkuasaan terhadap individu atau pihak, yang memuat naik atau menyebar berita tidak benar mengenai Covid-19 serta Proklamasi Darurat.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah itu, 28 kes telah selesai dengan 12 kes dituduh serta 16 kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut manakala dua kes masih dalam siasatan.

Zahidi berkata, individu yang didapati bersalah boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan berterusan pihak terbabit boleh didenda maksimum RM1,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan. - Bernama