Kerajaan tidak boleh ‘bersikap seperti biasa’

Kerajaan harus tangani isu keciciran murid secara serius libatkan semua kementerian

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mencari jalan penyelesaian agar isu keciciran murid dapat ditangani segera memandangkan jumlah itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, kerajaan tidak boleh ‘bersikap seperti biasa’ dalam menangani isu itu, sebaliknya perlu ada usaha bersepadu secara serius dan terangkum melibatkan semua kementerian dan agensi.

“Kerajaan terutama KPM perlu memandang angka ini sebagai satu perkara serius kerana ia membabitkan jumlah lima angka dan ini sudah pasti memberi kesan pada masa hadapan negara.

“Penyelesaian secara menyeluruh adalah perlu termasuklah mengambil tahu punca atau faktor mengapa anak-anak ini berhenti sekolah bukan sahaja membabitkan demografi dalam atau luar bandar,” tegasnya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sinar Harian menerusi muka depannya pada Isnin melaporkan ada dalam kalangan pelajar terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan persekolahan mereka akibat kesempitan hidup.

Di samping itu, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon memaklumkan, jumlah keseluruhan murid yang berhenti sekolah pada Mac 2020 hingga Julai 2021 adalah seramai 21,316 orang.

Mengulas lanjut, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, semasa zaman beliau, KPM mencari jalan penyelesaian dengan menjalankan pelbagai program cakna seperti Kempen Keciciran Sifar, Ziarah Cakna, Zero Reject Policy (Dasar Penolakan Sifar) dan sebagainya bagi menarik pelajar kembali ke sekolah.

“Program Ziarah Cakna telah menjadi pentas bagi guru dan ibu bapa berkongsi perkembangan menyeluruh berkaitan pelajar, memahami latar belakang keluarga mereka dan berkongsi pandangan bagi memastikan kemenjadian murid.

Artikel Berkaitan:

“Inisiatif itu membuka ruang bagi guru untuk lebih mendalami tingkah laku, merasai denyut kehidupan pelajar di rumah dan lain-lain keperluan atau bantuan kepada mereka,” jelasnya.

Maszlee turut bercadang untuk membawa usul keciciran murid sebagai satu perkara besar dan perlu membabitkan usaha bersepadu daripada semua pihak.

“Semua pihak perlu bersatu dalam menangani masalah ini.

“Jika membabitkan murid luar bandar, mungkin Kementerian Pembangunan Luar Bandar turut serta atau Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memantau untuk murid orang asli.

“Jika ia melibatkan anak-anak Felda, pihak pengurusan Felda juga perlu dilibatkan dan untuk anak-anak di Projek Perumahan Rakyat (PPR), maka Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu dilibatkan sekali.

“Begitu juga dengan kerajaan negeri,’’ tambahnya.