Dasar luar Malaysia kekal pragmatik, bebas, berprinsip, berkecuali

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon (dua dari kanan) ketika melancarkan Kerangka Kerja Dasar Luar bertajuk “Focus in Continuity: A Framework for Malaysia’s Foreign Policy in a Post-Pandemic World” pada Selasa. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon (dua dari kanan) ketika melancarkan Kerangka Kerja Dasar Luar bertajuk “Focus in Continuity: A Framework for Malaysia’s Foreign Policy in a Post-Pandemic World” pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus melaksanakan dasar luar yang pragmatik, bebas, berprinsip dan berkecuali berlandaskan nilai keamanan, keadilan dan kesaksamaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tidak kira sebarang perubahan serantau dan antarabangsa, dasar luar Malaysia akan kekal konsisten dan tidak berubah.

“Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang teguh kepada prinsip kewujudan bersama secara aman antara negara-negara lain. Kami akan kekal memilih penyelesaian aman terhadap sebarang pertelagahan berbanding cuba mempamerkan kekuatan tentera.

“Kami akan teurs menghormati kemerdekaan, kedaulatan serta integriti wilayah negara lain serta memupuk prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain,” katanya ketika melancarkan Kerangka Kerja Dasar Luar bertajuk “Focus in Continuity: A Framework for Malaysia’s Foreign Policy in a Post-Pandemic World” di sini pada Selasa.

Antara yang hadir pada majlis pelancaran itu Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan timbalannya Datuk Kamarudin Jaffar, Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke Malaysia dan ahli-ahli Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negeri (CCFP).

Beliau berkata, sebagai anggota keluarga dunia yang bertanggungjawab, Malaysia bagaimanapun tidak teragak-agak untuk menyuarakan pendapat atau bantahan terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan seperti penindasan, ketidakadilan serta kezaliman.

Perdana Menteri berkata, adalah penting bagi Malaysia untuk berusaha menuju pemulihan dan seterusnya muncul sebagai sebuah negara yang berdaya tahan dari segi ekonomi, sosial dan politik – di arena antarabangsa, selepas pandemik Covid-19.

“Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu meningkatkan keazaman untuk mengukuhkan kerjasama antarabangsa dan multilateralisme selain mempunyai keyakinan yang kuat bahawa kita sememangnya sebuah keluarga negara atau keluarga dunia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Covid-19 telah mencetuskan kesan buruk kepada ekonomi dan kestabilan fiskal di seluruh dunia, menyaksikan banyak negara termasuk Malaysia sedang berusaha menangani dan bangkit daripada pandemik.

Tambah beliau, ketika beberapa negara sudah pun menunjukkan pemulihan namun, banyak lagi negara masih bergelut dengan cabaran pandemik.

“Bagi Malaysia, kita kini berada di titik perubahan dan adalah penting untuk menetapkan hala tuju yang jelas untuk menuju masa depan kolektif – demi Keluarga Malaysia kita.

“Saya akan memastikan setiap dasar dan keputusan yang diambil kerajaan akan dibuat secara holistik demi kepentingan Keluarga Malaysia, dengan matlamat utama meneraju negara ke arah pemulihan sepenuhnya,” katanya.- Bernama