Perjanjian air: Singapura terima subsidi air RM2.4 bilion sejak 1962

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Berdasarkan harga jualan air ke Singapura menurut perjanjian 1962, negara jiran itu boleh dikatakan telah menerima subsidi sekurang-kurangya berjumlah RM2.4 billion sehingga ini, iaitu sebanyak RM42 juta setahun atau kira-kira RM100,000 sehari, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

“Kalau nak dikira subsidi yang kita berikan kepada Singapura, sebenarnya perkara ini memang berlaku. Kita jual dengan harga yang begitu murah, tetapi beli dengan harga yang mahal,” kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) sama ada wujud elemen subsidi dalam perjanjian itu.

Dalam pada itu, Saifuddin juga membidas Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan yang telah mengkritik tindakan Malaysia di Parlimen Singapura apabila mengatakan bahawa Malaysia tidak mempunyai hak untuk menilai semula perjanjian itu setelah tempoh 25 tahun.

“Klausa 14 perjanjian menyatakan ‘it shall be subject to review after the expiry of 25 years from the date of these presents..’, bukannya at the 25th year.

“Jadi saya tidak faham Bahasa Inggeris mana yang diguna oleh Menteri Luar Singapura yang membuat taksiran begitu. Kita hormati perjanjian, sebab itu kita kata boleh review perjanjian selepas 25 tahun,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang), Saifuddin berkata Malaysia bersedia merujuk kes itu ke mahkamah timbangtara antarbangsa jika usaha di meja rundingan tidak berhasil.

Isu penjualan air mentah kepada Singapura kembali hangat tahun lepas apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan harga air mentah yang dijual kepada Singapura sebagai tidak masuk akal dan beliau bercadang merundingkan semula terma perjanjian itu.

Lanjutan itu, Peguam Negara kedua-dua negara juga dilaporkan telah memulakan rundingan.

Artikel Berkaitan:

“Kita seharusnya telah masuk ke peringkat kedua di mana kita melihat kepada modaliti harga dan apakah tempoh masa bagi modaliti harga dan perkara berkaitan boleh dicapai,” kata Saifuddin.

Perjanjian yang akan berakhir pada 2061 itu memberi hak kepada Singapura untuk mendapatkan sehingga 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor.

Singapura hanya membayar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah dan menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.- Bernama