Tuntut campur tangan Pesuruhjaya Sukan

Tajul Hasnan menunjukkan surat perlucutan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif PAFA yang dihantar kepada ahli-ahli gabungan yang digugurkan ketika sidang akhbar tersebut.
Tajul Hasnan menunjukkan surat perlucutan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif PAFA yang dihantar kepada ahli-ahli gabungan yang digugurkan ketika sidang akhbar tersebut.
A
A
A

SERAMAI 13 ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang digugurkan menuntut campur tangan Pesuruhjaya Sukan bagi menyelesaikan kemelut melanda badan induk bola sepak Perak itu.

Jurucakap gabungan tersebut, Tajul Hasnan Omar berkata, ahli gabungan yang dipecat mahu mengetahui sama ada keputusan memecat 11 ahli gabungan sebelum ini sah atau sebaliknya.

Menurutnya, mengikut Artikel 33 Perlembagaan PAFA, sebarang keputusan melibatkan eksekutif mesti mengikut komposisi jawatankuasa eksekutif sebanyak 19 orang ahli termasuk Presiden dan Timbalan Presiden yang sehingga kini masih belum dilantik.

"Kami ahli-ahli gabungan sudah pun menerima surat perlucutan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif PAFA. Dalam surat tersebut dinyatakan keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAFA, jadi kalau kami tiada dalam mesyuarat adakah keputusan mesyuarat itu sah?

"Jadi kita telah hantar surat kepada Pesuruhjaya Sukan mengenai perkara ini dan meminta untuk diadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan dilaksanakan oleh ahli-ahli gabungan ini," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di sini pada Isnin.

Tajul Hasnan berkata, pihaknya sudah menghantar surat jemputan bagi mengadakan EGM tersebut yang dijadual berlangsung pada 19 Disember depan kepada semua ahli gabungan PAFA.

Katanya, 13 daripada 18 ahli gabungan mendesak EGM tersebut dilaksanakan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda badan bola sepak Perak itu.

Kemelut di dalam PAFA tercetus apabila Pemangku Presiden PAFA, Datuk Mohammad Yadzan Mohamed mengumumkan pengguguran keahlian 11 Persatuan Bola Sepak (PB) di negeri ini sebagai ahli gabungan PAFA pada 23 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Tindakan memecat ahli gabungan itu diambil kerana berlaku pelanggaran Perlembagaan Artikel 80 berhubung keahlian yang mana mengikut peraturan itu, tiada ahli gabungan boleh menjadi ahli kepada dua persatuan setelah mendapati 11 PB itu menjadi ahli gabungan PB Melayu Perak.

Mereka adalah PB Perak Tengah, Tapah, Kampar, Gerik, Lenggong, Hulu Perak, Kampung Gajah, Ipoh, Larut Matang & Selama, Hilir Perak, Kerian dan PB Melayu Perak.

Hilir Perak bagaimanapun tidak menjadi ahli gabungan Melayu Perak, oleh yang demikian mereka tidak dipecat.