PRK Bugaya: MP Semporna sudah berhubung dengan SPR

Mohd Shafie (tengah) ketika sidang media di pejabatnya di Kolombong, Kota Kinabalu pada Isnin.
Mohd Shafie (tengah) ketika sidang media di pejabatnya di Kolombong, Kota Kinabalu pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah berhubung dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Beliau bagaimanapun berkata, ia terserah kepada SPR untuk menentukannya dan perkara itu juga telah dibahaskan di peringkat Parlimen.

"Saya tidak mahu menjejaskan nyawa manusia (masih dalam keadaan pandemik Covid-19) tetapi kita serahkan kepada SPR kerana ini untuk memberi hak (pengundi) supaya mereka mempunyai wakil (wakil rakyat) yang sahih," katanya ketika ditanya berhubung perkembangan berkaitan PRK Bugaya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kolombong, pada Isnin.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya sebelum ini berkata, pihaknya hanya menunggu makluman daripada pihak berkaitan berhubung pilihan raya di kawasan Bugaya.

Bagaimanapun, beliau berkata, PRK DUN Bugaya hanya boleh dilaksanakan jika pengisytiharan darurat di kawasan itu ditarik semula.

Kerusi DUN Bugaya diisytiharkan kosong setelah penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia akibat masalah buah pinggang pada 17 November 2020.

Diminta mengulas berhubung sama ada parti dominan masih relevan di negara ini, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan menyifatkan politik di negara ini tidak memerlukan sebuah parti dominan.

"Untuk mengekalkan semak dan imbang di negara ini, tidak harus wujud sebarang parti dominan yang menguasai politik negara.

Artikel Berkaitan:

"Sistem politik negara ini memerlukan kewujudan pembangkang bagi melakukan semak dan imbang dan bukan menandatangani memorandum yang menghalang kebebasan wakil rakyat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan kukuh, stabil dibentuk daripada parti dominan

Muhyiddin optimis PN jadi pilihan rakyat pada PRU15