PRK Bugaya, tunggu darurat ditarik semula

Kadzim.- Foto fail Bernama
Kadzim.- Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya belum boleh diadakan sehingga pengisytiharkan darurat ditarik semula.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata, beliau hanya menunggu makluman daripada pihak berkaitan berhubung pilihan raya di kawasan Bugaya.

"Saya ini hanya menanti makluman daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebab saya sudah maklumkan kepada mereka dulu.

"Kita mesti faham, Bugaya belum ditarik pengisytiharan darurat sehingga Yang di-Pertuan Agong menarik balik darurat, baru SPR boleh (adakan pilihan raya), kalau SPR mahu. Hubungi sekarang pun tiada guna kerana Agong belum tarik," katanya pada sidang akhbar di bangunan DUN Sabah, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung perkembangan PRK Bugaya selepas penyandangnya, Datin Manis Muka Mohd Darah daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) meninggal dunia pada November tahun lalu.

Diminta mengulas lanjut, beliau memaklumkan ketika ini pihaknya hanya menunggu darurat ditarik semula.

"Ya (tunggu darurat ditarik semula). Macam Sarawak, sudah kena tarik (darurat), Bugaya belum," katanya.

Pada Disember tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan darurat terhadap DUN Bugaya bagi mengelak PRK sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan: