Armada lapor polis gesa ekstradisi Rosmah Mansor

Mohd Ashraf ketika bercakap kepada pemberita di hadapan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Mohd Ashraf ketika bercakap kepada pemberita di hadapan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa pihak berkuasa untuk mengekstradisi isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selepas beliau gagal hadir ke prosiding mahkamah pada Khamis.

Ketua Penerangan Armada Malaysia, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, kegagalan Rosmah untuk hadir ke prosiding tersebut disifatkan sebagai menghina institusi kehakiman negara.

Menurutnya, isteri kepada bekas Perdana Menteri itu diarahkan untuk pulang ke tanah air selewat-lewatnya pada 21 November sebaliknya ada sumber yang mengatakan bahawa sehingga kini beliau masih berada di Singapura.

"Peguam beliau berjanji bahawa Rosmah akan hadir ke mahkamah pada 6 Disember iaitu Isnin ini. Kita dapat maklumat dia masih berada di Singapura dan kalau dia balik sekarang pun adakah dia tidak perlu dikuarantin sebelum ke mahkamah?

"Pada 15 Oktober, mahkamah mengarahkan beliau untuk pulang sebelum 21 November tetapi dia gagal dan ini merupakan satu kesalahan yang nyata," katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Sabtu.

Pada 15 Oktober lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Rosmah supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau ke Singapura untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa yang dijangka melahirkan anak kedua.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan semasa membenarkan permohonan Rosmah berkata, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu mesti kembali ke Malaysia sebelum atau pada 21 November dan pasport mesti diserahkan balik kepada mahkamah sebelum atau pada 6 Disember 2021.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor.

Artikel Berkaitan:

Ia sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Pada 4 Oktober Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya sementara menunggu selesai rayuan beliau dalam kes sama.

Susulan keputusan itu, Rosmah, 69, memberi keterangan sebagai saksi pembelaan di Mahkamah Tinggi pada 5 Oktober lepas. Perbicaraan dijadual disambung pada 8 Disember.