Makam lama berusia 140 tahun ditemui

Ahli Jawatankuasa Anjung Warisan Pustaka Pak Wan, Mohd Jamil Ramli menunjukkan kawasan makam dipenuhi semak samun dipercayai milik Sultan Kedah ke-25, Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II di Kota Bukit Pinang, mukim Bukit Pinang di sini.
Ahli Jawatankuasa Anjung Warisan Pustaka Pak Wan, Mohd Jamil Ramli menunjukkan kawasan makam dipenuhi semak samun dipercayai milik Sultan Kedah ke-25, Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II di Kota Bukit Pinang, mukim Bukit Pinang di sini.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah makam lama berusia 140 tahun yang dipercayai milik Sultan Kedah ke-25, Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II ditemui di Kota Bukit Pinang, mukim Bukit Pinang di sini.

Ahli Jawatankuasa Anjung Warisan Pustaka Pak Wan, Mohd Jamil Ramli berkata, Sultan Zainal Rashid II merupakan anakanda kepada Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah dan Wan Jah Luang Nik Abidin.

Menurutnya, baginda telah memerintah selama tiga tahun dari 1879 hingga 188 sebelum mangkat dan digantikan dengan Sultan Kedah ke-26, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

"Kami percaya kemungkinan terdapat 100 kubur atau lebih lagi termasuklah milik isteri baginda, Tunku Mariam Tunku Dhiauddin, kerabat, pembesar dan ulama di kompleks makam ini.

"Malah ada makam yang dipercayai berusia 400 tahun termasuklah makam dari zaman Sultan Kedah ke-18, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I hinggalah ke zaman Sultan Zainal Rashid II," katanya.

Mohd Jamil berkata, sisa-sisa bangunan Istana Bukit Pinang dan kota pemerintahan di puncak Bukit Pinang yang hanya berada sekitar 300 meter (m) dari tapak makam itu menguatkan lagi kepercayaan mereka.

"Pandangan itu pernah disuarakan Allahyarham Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof kepada saya selepas beliau melawat kawasan kompleks makam yang terletak di seberang jalan utama Bukit Pinang pada tahun 2019," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tokoh sejarawan Kedah itu tidak dapat meneruskan usaha untuk terus membuat kajian lanjut apabila beliau menghembuskan nafas terakhir pada Disember tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Mohd Jamil mengakui berasa agak sedih mengenangkan keadaan makam dalam keadaan semak samun dan tidak terjaga ketika melakukan beberapa kali siri lawatan ke sekitar kompleks makam tersebut.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan makam di kompleks berkenaan terus dipulihara dan dijaga dengan baik.

"Kita juga berharap pihak berkuasa dapat mewartakan kawasan tanah makam dan memastikan ia tidak dipindah milik kepada mana-mana pihak demi memulihara warisan berkenaan," katanya.

Sebelum itu, Mohd Jamil meninjau sisa-sisa bangunan Istana Bukit Pinang yang masih ada di puncak Bukit Pinang yang dipercayai digunakan terakhir ketika pemerintahan Sultan Zainal Rashid II.

Penduduk tempatan, Chan Kah Sung, 52, berkata, ada beberapa kesan bangunan istana lama berkenaan masih boleh dilihat ketika ini seperti gerbang, kubu, perigi dan menara peninjau.

"Dahulu saya dapati kebanyakan binaan masih kukuh dan memang cantik kerana ada taman, balairong seri dan sebagainya namun kini kebanyakan telah rosak," katanya.