4,896 kes positif Covid-19 hari ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jangkitan harian Covid-19 dalam negara kembali turun ke paras 4,000 apabila 4,896 kes baharu dicatatkan pada Sabtu berbanding 5,551 kes pada Jumaat.

Kali terakhir kes harian Covid-19 merekodkan angka pada paras 4,000 kes adalah pada 30 November lepas iaitu 4,879 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 4,878 adalah kes jangkitan tempatan, manakala 18 lagi adalah kes import.

"Daripada keseluruhan kes baharu hari ini, hanya 79 kes dalam kategori tiga, empat dan lima manakala 4,817 lagi adalah kategori satu dan dua," katanya dalam kenyataan mengenai situasi Covid-19 pada Sabtu.

Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit Covid-19 tidak bergejala serta bergejala ringan, manakala kategori tiga, empat dan lima pula ialah pesakit sama ada mengalami radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan.

Bagi kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 4,676 kes dicatatkan menjadikan keseluruhan kes pulih kini adalah 2,561,230, manakala 490 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 269 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham memaklumkan, empat kluster baharu dikesan pada Sabtu dan jumlah kluster masih aktif adalah 227, selain nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) di Malaysia setakat Jumaat adalah 0.97. - Bernama

Artikel Berkaitan: