X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Mahkamah perlu dengar saman Najib terhadap AMMB Holdings, dua lagi

Najib merayu di Mahkamah Rayuan, memohon supaya samannya kembali didengar setelah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi. - Foto fail/Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu samannya terhadap AMMB Holdings Berhad, AmBank Islamic Bhd dan bekas pengurus perhubungannya berhubung dakwaan salah urus akaunnya, yang dibatalkan Mahkamah Tinggi kembali didengar mahkamah.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas Perdana Menteri itu memberitahu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada Khamis bahawa Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Khadijah Idris membuat penemuan fakta dan kesimpulan yang salah apabila memutuskan bahawa saman itu tidak wajar.

Beliau berkata, saman yang difailkan oleh anak guamnya bukanlah ‘serangan kolateral’ untuk mencabar keputusan kes jenayahnya (Najib) berhubung dana SRC International Sdn Bhd, seperti yang diputuskan oleh hakim Mahkamah Tinggi apabila beliau membatalkan saman itu.

Serangan kolateral bermaksud tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan dalam kes lain.

Dalam keputusannya, hakim Mahkamah Tinggi itu memutuskan bahawa saman Najib terhadap tiga defendan terbabit merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana dibuat sebagai serangan kolateral untuk perbicaraan kes jenayahnya berhubung dana SRC International.

Najib merayu di Mahkamah Rayuan, memohon supaya samannya kembali didengar setelah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Harvinderjit Singh berkata, hakim Mahkamah Tinggi khilaf apabila mendapati saman itu disandarkan pada keterangan Joanna Yu Ging Ping dalam perbicaraan SRC yang kononnya dilindungi oleh imuniti mutlak.

Joanna merupakan antara saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC yang dihadapi Najib melibatkan tujuh pertuduhan.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mensabitkan Najib atas pertuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib selama 15 hari pada April lepas dan menetapkan 8 Disember ini untuk keputusan.

Dalam samannya terhadap AmBank, AMMB Holdings dan Joanna, Najib mendakwa AmBank dan Joanna melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya dengan mendedahkannya kepada Jho Low.

Najib mendakwa AmBank, AMMB Holdings dan Joanna, telah mendedahkan penyata bank, transaksi debit dan pengiriman wang, dan baki dana antara akaunnya kepada Jho Low sebagai pihak ketiga, tanpa kebenaran.

Mahkamah juga mendengar hujah peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Joanna, bekas pengurus perhubungan bank yang berkata, beliau bukan faktor penyumbang yang menyebabkan Najib didakwa atas tujuh pertuduhan berkaitan SRC.

Beliau berkata, bukan keputusan Joanna untuk mendakwa Najib tetapi keputusan Peguam Negara ketika itu (Tan Sri Tommy Thomas).

Beliau berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi betul apabila memutuskan bahawa saman itu adalah serangan kolateral kerana ia boleh mengakibatkan percanggahan dan menimbulkan tidak konsisten dalam mencari fakta mengenai isu yang sama.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung 24 Januari. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!