Rosmah perlu jawab saman syarikat barangan kemas Global Royalty

Rosmah.
Rosmah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan jawapan tuntutan saman oleh Global Royalty Trading SAL dari Beirut, Lebanon dalam masa tiga minggu.

Peguam David Gurupatham yang mewakili syarikat itu berkata, ketika pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rini Triany Muhamad Ali, pihak Rosmah dikehendaki memfailkan perkara itu sebelum atau pada 2 Jun depan.

Ia berhubung saman syarikat itu untuk mendapatkan semula 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta daripada isteri bekas Perdana Menteri ini.

"Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes akan datang dibuat melalui e-review pada 7 Jun," katanya selepas dihubungi media, pada Jumaat.

Sebelum itu, pada 26 Jun 2018, Global Royalty menyaman Rosmah selaku defendan dan menuntutnya memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta.

Syarikat ini mendakwa Rosmah berbohong bahawa barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepadanya, dirampas pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat itu, hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan polis, dan bakinya tidak disimpan pihak berkuasa.

Pada 28 Ogos 2019, Kerajaan Malaysia mengesahkan melalui Afidavit Jawapan yang diikrarkan oleh Superintenden Polis G/15177 Foo Wei Min (yang difailkan dalam guaman sivil tersebut) bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas yang berada dalam simpanan Polis Diraja Malaysia.

Plaintif kemudiannya menarik balik tuntutan saman tersebut untuk memfailkan semula dan mencelah dalam prosiding pelucuthakan Kerajaan Malaysia terhadap OBYU Holdings Sdn Bhd, pemilik harta yang dimana 12,000 barang kemas tersebut telah disita oleh PDRM atas kesalahan di bawah AMLA.

Pada 11 Mac 2020, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussein membenarkan permohonan plaintif untuk memeriksa barang-barang kemas tersebut, yang telah disita oleh PDRM.

Pada 17 April lalu, Sinar Harian melaporkan, Global Royalty memfailkan saman baharu, untuk mendapatkan semula 43 barang kemas daripada isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Berdasarkan writ yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 29 Mac lalu, syarikat barang kemas itu mengambil langkah berkenaan melalui firma guaman, Tetuan David Gurupatham dan Koay dengan menamakan Rosmah selaku defendan tunggal.