Usaha berterusan kembalikan imej Malaysia: PM

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan terus menjalankan usaha untuk menentukan imej Malaysia sebagai sebuah negara berintegriti dikembalikan, malah menjadi lebih baik sekarang dan pada masa hadapan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, sejak menjadi kerajaan Mei lepas, pelbagai langkah telah diambil kerajaan PH untuk meningkatkan integriti dan governans negara.

“Sejak ambil alih, kita pastikan negara ditadbir secara bersih dan tidak didasari kepentingan peribadi sehingga menyebabkan kerugian kepada negara,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) berkenaan usaha kerajaan untuk mengubah imej Malaysia daripada sebuah negara kleptokrasi sebelum ini kepada negara yang berintegriti.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, antara usaha ini termasuk penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) Jabatan Perdana Menteri pada 8 Jun lepas yang berfungsi memantau pelaksanaan program-program berkaitan secara berterusan supaya keberkesanannya dapat dilihat oleh rakyat.

Dr Mahathir juga berkata, GIACC telah menubuhkan dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dan Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR)

Menurutnya JKKMAR bertindak untuk menyelaras pelaksanaan pemantauan dan penilaian keberkesanan semua inisiatif berkaitan governans, integriti dan anti-rasuah di semua sektor sama ada kerajaan mahupun swasta.

Antara program yang telah dilaksanakan ialah penambahbaikan terhadap dasar pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran kerajaan dan anggota Parlimen kerajaan serta penambahbaikan terhadap takrifan “Ahli Politik” yang didapati tidak sesuai dilantik sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah (ALP) sesebuah syarikat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Artikel Berkaitan:

Katanya langkah lain ialah penambahbaikan terhadap mekanisme penerimaan hadiah, keraian dan upahan oleh anggota-anggota pentadbiran serta penjawat awam, dan anggota pentadbiran juga tidak lagi boleh mengeluarkan surat sokongan.

Justeru Dr Mahathir berkata, segala tindakan yang diambil akan dikuatkuasakan dan berjalan sepanjang masa untuk menentukan janji-janji kerajaan berkenaan integriti, governans dan sebagainya akan terus terlihat dan memberi kesan kepada masyarakat.

Katanya usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan itu juga mulai mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Pada tahun 2019 ini, GIACC akan terus memantau semua inisiatif di bawah Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah dan Pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Nasional bagi memastikan pelaksanaannya membawa impak yang positif kepada negara.

“GIACC juga akan terus mengadakan sesi pertemuan bersemuka dengan mana-mana agensi kerajaan bagi khidmat nasihat dan membincangkan perkara berkaitan governans, integriti dan antirasuah dari semasa ke semasa agar Malaysia dikenali kerana integritinya, bukan kerana rasuah,” katanya. - Bernama