X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Pelancongan domestik jadi pilihan rakyat

Batu Ferringhi antara lokasi tumpuan pelancong domestik di Pulau Pinang. - Foto 123RF
A
A

GEORGETOWN - Pelancongan domestik tetap menjadi pilihan rakyat ketika ini malah beberapa lokasi pelancongan menerima sambutan menggalakkan, kata Pengarah Kanan Bahagian Promosi Domestik Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof.

Beliau berkata, sehubungan itu, semua pihak perlu bergabung tenaga bagi memperkenalkan produk pelancongan baharu dalam menyediakan pelbagai pilihan kepada rakyat untuk bercuti dalam negara.

"Permintaan untuk pelancongan domestik semakin meningkat selepas rentas negeri dibenarkan namun orang ramai dan pemain industri pelancongan perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan terkini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Berdasarkan pemerhatian, didapati orang ramai memilih untuk meneroka lokasi pelancongan yang kurang sesak dan selamat untuk keluarga masing-masing malah mereka yang sebelum ini bercuti di luar negara juga memilih untuk melancong di sini (dalam negara), jadi kami giat melakukan promosi supaya dapat memberi banyak pilihan kepada rakyat untuk bercuti dalam negara sendiri," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan program 'My Destination Sabah and Labuan to Penang', di sini pada Khamis yang bertujuan merangsang semula sektor pelancongan domestik di Sabah, Labuan serta Pulau Pinang.

Iskandar Mirza berkata, pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia seperti pakej penjawat awam dan pesara kerajaan turut mendapat sambutan menggalakkan dengan mencatat jualan lebih RM500,000 setakat November tahun ini.

“Kali ini Tourism Malaysia melancarkan (promosi) untuk Sabah, Labuan dan Pulau Pinang kerana pelancongan domestik di Sabah pada tahun lepas mencatatkan trend penurunan dari segi jumlah dan nilai yang didorong oleh penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Beliau berkata, jumlah ketibaan pelancong domestik ke Sabah menurun sebanyak 53.1 peratus dengan kehadiran jumlah pelancong 10.3 juta orang manakala hasil pendapatan RM2.7 bilion berbanding 2019 yang mencatatkan seramai 22 juta pelancong dengan pendapatan RM8.1 bilion.

Menurutnya, 26 penggiat industri pelancongan dari Sabah dan Labuan terdiri daripada 23 agensi pelancongan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), AirAsia, dan Palm Beach Resort and Spa telah menyertai program ‘My Destination Sabah and Labuan to Penang’. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!