X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

Cuai punca jangkitan Covid-19 di Sekolah Seri Puteri: MP Sepang

Mohamed Hanipa
A
A

SEPANG - Kes positif Covid-19 yang berlaku di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya dianggap sebagai kes kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku pada peringkat awal.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, berdasarkan laporan awal diterima itu juga beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya elemen kesalahan 'tort of misfeasance in public office'.

"Jujurnya, saya merasa amat sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. Pada hemat saya, boleh dikategorikan sebagai satu kes kecuaian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak berhasrat menggunakan insiden malang itu untuk menyalahkan mana-mana pihak.

"Antara perkara diadukan kepada saya setakat ini pihak sekolah dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang dikatakan gagal menguruskan kes Covid-19 yang berpunca daripada seorang guru yang didakwa merebaknya gejala itu ke seluruh sekolah.

"Saya juga dimaklumkan tiada sanitasi dibuat oleh pihak sekolah dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," jelas beliau.

Selain itu, katanya, pelajar juga dikatakan telah melakukan usaha sanitasi secara sendiri dan ibu bapa pelajar juga tidak dimaklumkan dengan sebarang maklumat sejak kes pertama dua minggu lalu.

"Pihak Pusat Khidmat Parlimen Sepang sedang cuba mendapat pengesahan aduan tersebut.

"Saya sendiri, apabila hanya dimaklumkan hal ini pada pagi ini (Khamis) dan membaca laporan media telah mengarahkan pegawai saya untuk cuba mendapatkan laporan penuh kes ini dari kesemua para pemegang taruh dengan kadar segera bagi membolehkan saya membangkitkan isu ini di Parlimen," katanya.

Katanya, beliau akan memfailkan usul khas di bawah Aturan 18 Peraturan Mesyuarat berhubung isu ini bagi mendapatkan jawapan serta pencerahan telus dari pihak KKM bagi penyelesaian segera.

"Sehubungan itu, saya dengan rasa sedih dan hiba mengucapkan salam takziah kepada pelajar dan ibu bapa pelajar yang disahkan positif dan meminta rakyat berdoa agar mereka semua sihat semula seperti sediakala," jelasnya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini mengesahkan seramai 73 orang dilaporkan positif Covid-19 di Sekolah Seri Puteri.

Beliau berkata, mereka yang positif itu adalah dua guru dan 71 pelajar.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!