MBI Selangor komited laksana pembangunan Sungai Klang

Raja Shahreen Raja Othman
Raja Shahreen Raja Othman
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor mengenal pasti lokasi berasaskan transit sepanjang Sungai Klang bagi memulihara dan membangunkan kawasan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadan Menteri Besar (MBI), Raja Shahreen Raja Othman berkata, pihaknya komited melakukan usaha pemuliharaan Sungai Klang.

"Kita berharap pembangunan Sungai Klang ini menyemarakkan ekonomi negeri dalam jangka masa panjang melalui ekonomi maritim," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual pada sesi Sinar Live 'Selangor Menuju Negeri Lestari' di sini, semalam.

Raja Shahreen berkata, usaha penyelenggaraan dan membersih Sungai Klang dilaksanakan sejak 2015.

"Sehingga kini sebanyak 40,000 tan metrik sisa pepejal dipungut," katanya.

Menurut beliau, pembangunan pesisir pantai Sungai Klang yang dikenali sebagai ‘Selangor Maritime Gateway (SMG) merupakan projek pembangunan ekonomi jangka masa panjang.

Projek SMG akan menjadikan konsep penjanaan semula bandar membabitkan industri perhotelan, perdagangan, pelancongan, perumahan serta industri perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

Projek itu meliputi keluasan kawasan kira-kira 55, 612 hektar sepanjang pesisir Sungai Klang.

Perlaksanaan projek itu juga dapat meningkatkan tahap kebersihan kualiti air dalam lembangan dan rizab sungai sekurang-kurangnya, pada tahap kedua indeks kualiti air.

Dalam pada itu, Raja Shahreen berkata, kira-kira 1.2 juta pengguna mendapatkan perkhidmatan percuma capaian jalur lebar (WiFi) Smart Selangor secara aktif di seluruh negeri ini pada setiap hari.

Katanya, perkhidmatan percuma itu dimanfaatkan penduduk termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

"Kita berharap perkhidmatan percuma ini memberi peluang bukan saja masyarakat bandar, tetapi luar bandar mendapatkan perkhidmatan WiFi percuma.

"Ini juga memudahkan penuntut di pusat pengajian menggunakan kaedah pembelajaran dan interaksi secara atas talian dengan lebih mudah," katanya.

Bagaimanapun Raja Shahreen berkata, kerajaan negeri lebih memberi tumpuan di kawasan penduduk berbanding memberikan perkhidmatan itu di IPT.

"Kami menyediakan perkhidmatan WiFi ini di Universiti Selangor (Unisel), namun ada beberapa institusi swasta turut meminta ekses ini tetapi ditolak kerana fokus utama perkhidmatan ini diberikan kepada rakyat terutama di kawasan pedalaman.

"Pihak IPT juga sepatunya memainkan peranan sama dengan memperluaskan perkhidmatan jalur lebar," katanya.

Beliau berkata, kelajuan WiFi internet perkhidmatan itu masih belum memuaskan berikutan jumlah pengguna yang ramai dalam sesuatu masa.

"Sekarang ini belum capai sasaran empat Mbps setiap AP (Access Point) dan ramai pengguna merungut tentang hal ini," katanya.

Menurutnya, pada masa ini, terdapat lebih 4, 000 AP di seluruh negeri ini berbanding pada awal kewujudannya iaitu hanya 112 AP.

"Kita ingin menyasarkan sebanyak mungkin AP kepada rakyat pada masa akan datang," katanya.