Kebakaran Putra Heights: Selangor lulus bantuan sewa rumah fasa keempat - Exco

Insiden kebakaran pada 1 April tahun lalu itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus
Insiden kebakaran pada 1 April tahun lalu itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor meluluskan bantuan sewa rumah sementara fasa keempat kepada mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya bagi tempoh Januari hingga Mac depan.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 21 Januari lalu.

Menurutnya, kelulusan itu berdasarkan penilaian terkini dan lawatan tapak oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling yang mendapati masih terdapat mangsa belum dapat kembali ke kediaman masing-masing atas faktor keselamatan, status pembinaan serta isu dokumentasi pemilikan tanah.

"Bagi fasa keempat, bantuan sewa rumah melibatkan 67 Ketua Isi Rumah (KIE) terdiri daripada 65 KIR yang kediamannya masih dalam proses baik pulih serta dua KIR yang kediamannya belum dapat dibina berikutan isu dokumentasi pemilikan tanah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Borhan menjelaskan, daripada keseluruhan 123 Ketua Isi Rumah (KIR) yang menerima bantuan sewa rumah sementara fasa ketiga sebelum ini, seramai 67 KIR disyorkan untuk meneruskan bantuan.

"Seramai 56 KIR tidak diteruskan bantuan sewa rumah berdasarkan penilaian semasa dan pematuhan kepada kriteria kelayakan yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri memutuskan bantuan sewa tidak diteruskan kepada mangsa yang kediamannya telah siap dan selamat untuk diduduki selain kes melibatkan keengganan pemilik membenarkan kerja baik pulih dilaksanakan.

"Kerajaan Selangor mahu memastikan kebajikan mangsa terus diberi perhatian secara bersasar, berhemah dan berasaskan penilaian lapangan sehingga keadaan benar-benar pulih dan selamat," jelas beliau.

Insiden kebakaran pada 1 April tahun lalu itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan, tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kerajaan Selangor meluluskan bantuan sewa rumah sementara kepada mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights untuk Januari hingga Mac
  • Keputusan diluluskan dalam mesyuarat MMKN Selangor pada 21 Januari berdasarkan penilaian terkini dan keselamatan
  • Fasa keempat bantuan melibatkan 67 Ketua Isi Rumah yang kediamannya masih dalam proses baik pulih atau belum dapat dibina
  • Dari 123 Ketua Isi Rumah fasa ketiga, 67 disyorkan meneruskan bantuan sedangkan 56 tidak berdasarkan penilaian semasa
  • Insiden kebakaran pada 1 April tahun lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dan 81 separa musnah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!