Pas bantah cadangan tukar status tanah sekolah kerajaan kepada komersial

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor membantah cadangan penukaran status tanah berkeluasan 3.36 hektar di Seksyen 32 di sini daripada Zon Guna Tanah Institusi Awam (pendidikan) kepada Zon Guna Tanah Komersial bagi tujuan pendidikan swasta.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, cadangan itu memberi implikasi besar kepada rakyat dan negara kerana seolah-olah menggambarkan kerajaan sedang menghala ke arah menjadikan sektor pendidikan sebagai perniagaan berorientasikan keuntungan.
Menurutnya, langkah itu hanya akan menguntungkan golongan berada selain menafikan peluang pendidikan saksama kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
"Jika mahu membina sekolah swasta, carilah tanah lain dan jangan merampas tanah yang sudah diwartakan untuk kepentingan awam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, penukaran status tanah itu juga disifatkan sebagai mengkhianati hak pendidikan anak-anak rakyat khususnya di kawasan yang berdepan masalah kesesakan sekolah.
"Ribuan murid terpaksa belajar dalam kelas menempatkan lebih 40 pelajar dan masih ada anak-anak yang belum mendapat penempatan di sekolah harian biasa.
"Tiba-tiba muncul cadangan sebegini yang langsung tidak masuk akal dan tidak berperikemanusiaan," tegas beliau.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru ibu bapa, penduduk setempat, ahli kariah, pertubuhan masyarakat sivil serta rakyat Selangor supaya bangkit menyatakan bantahan terhadap cadangan berkenaan.
Mohamed Sukri berkata, orang ramai digesa mengemukakan bantahan secara rasmi melalui saluran disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
"Kongsikan seruan ini seluas-luasnya agar lebih ramai membuka mata terhadap kezaliman yang sedang berlaku terhadap sistem pendidikan di negeri ini.
"Kerajaan perlu memastikan akses pendidikan dapat dinikmati semua, bukannya mencari jalan mudah yang akhirnya membebankan rakyat," tambah beliau.
Ringkasan AI
- Pemuda Pas Selangor bantah cadangan penukaran status tanah untuk pendidikan swasta
- Cadangan itu dilihat sebagai langkah menjadikan pendidikan sebagai perniagaan beruntung
- Akan menguntungkan golongan berada dan menafikan peluang pendidikan adil kepada keluarga berpendapatan rendah
- Mengkhianati hak pendidikan dan menyebabkan kesesakan di sekolah-sekolah sedia ada
- Menyeru bantahan daripada ibu bapa, penduduk dan rakyat Selangor melalui saluran disediakan oleh MBSA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


