MBSB catat kerugian RM104.58 juta pada suku ketiga 2021

 Malaysia Building Society Berhad (MBSB).
Malaysia Building Society Berhad (MBSB).
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia Building Society Berhad (MBSB) mencatatkan kerugian selepas cukai pada suku ketiga 2021 (3Q21) kewangan berakhir pada 30 September lalu sebanyak RM104.58 juta daripada keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM403.41 juta pada suku kedua tahun 2021 (2Q21).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Nor Azam M Taib berkata, subsidari utama iaitu MBSB Bank Berhad yang berterusan memberikan moratorium dan bantuan pembayaran semula kepada pelanggan terjejas di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) menyebabkan kerugian tambahan pengubahsuaian sebanyak RM146.97 juta direkodkan pada 3Q21 berbanding RM13.2 juta pada 2Q21.

"Pandemik Covid-19 telah memberikan kesan kepada banyak industri dan individu menyebabkan mereka tidak dapat bekerja dengan kapasiti optimum. Oleh itu, kami menawarkan moratorium berterusan untuk membantu pelanggan yang terjejas," katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, keuntungan bersih MBSB untuk tempoh sembilan bulan meningkat kepada RM362.25 juta berbanding RM172.48 juta tempoh yang sama tahun lalu kerana kesan kerugian pengubahsuaian yang lebih rendah berbanding tahun 2020.

MBSB mencatakan keuntungan RM681.05 juta pada 3Q21 menyaksikan peningkatan 2.42 peratus berbanding RM664.94 juta pada 2Q21 disumbangkan oleh kenaikan hasil berkaitan pembiayaan.

Nor Azam turut berkata, MBSB sedia untuk terus memberikan komitmen bantuan pembiayaan kepada pelanggan yang terjejas.

"Kami mula menerima permohonan daripada Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) sejak 15 November lalu dan kami menasihatkan orang ramai yang mahu mendapatkan bantuan kewangan untuk menghubungi MBSB atau mendaftar URUS di laman sesawang kami," katanya.

Artikel Berkaitan: